Wednesday, March 16, 2011

Malam gemilang Azizul, Nicol

Ia ibarat ulang tayang edisi 2009. Jaguh pecut lumba basikal negara, Azizulhasni Awang dan ratu skuasy kebangsaan, Datuk Nicol Ann David, kembali ke podium untuk masing-masing dinobat selaku Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2010 dalam satu upacara sederhana tetapi cukup signifikan di sini, malam tadi.

Kedua-duanya yang juga terpilih mengungguli kategori masing-masing untuk edisi 2009, menerima trofi dan wang tunai RM10,000 setiap seorang daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Ia adalah kemenangan peribadi kedua buat Azizulhasni manakala nama Nicol sudah lapan kali tercatat sebagai pemenang dalam tempoh 11 tahun, satu lakaran sejarah yang pasti sukar ditandingi.

Azizulhasni, 23, mengetepikan cabaran Datuk Lee Chong Wei dan jaguh bina badan, Sazali Abdul Samad.

“Ini gelaran kedua buat saya, satu penghormatan yang tinggi dalam membakar semangat saya memburu gemilang atas nama negara. Ia juga sebagai hadiah selepas menggadai nyawa di Manchester baru-baru ini.

“Terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokong, tidak kira sama ada di kalangan pentadbir, pemimpin persatuan, penaja, pengkritik dan peminat yang tidak putus-putus menghulurkan sokongan,” kata Azizulhasni.

Nicol pula teruja dengan gelaran kelapannya sebagai pelengkap kepada persembahannya sepanjang 2010.

“Tahun 2010 adalah detik paling gemilang buat saya, dengan kejuaraan berganda di Sukan Asia dan Sukan Komanwel. Kemenangan kategori pasukan juga satu penghormatan yang cukup tinggi dan menjadi kenangan manis saya,” kata Nicol.

Kategori pasukan lelaki dimenangi skuad hoki negara yang mengutip pingat perak di Sukan Asia di Guangzhou manakala kuartet skuasy – Nicol, Low Wee Wern, Sharon Wee dan Delia Arnold – terpilih mengungguli kategori pasukan wanita.

Anugerah jurulatih lelaki kebangsaan dikongsi bersama Stephen van Huizen dan Tai Beng Hai. Anugerah Kepemimpinan jatuh kepada Prof Datuk W.Y. Chin manakala Anugerah Khas diberi kepada bekas jaguh rejam lembing negara, Datuk Nashatar Singh, dan pemimpin badminton Datuk Lim Teong Kiat.

Anugerah Olahragawan Paralimpik Kebangsaan dimenangi Zul Amirul Sidi Abdullah (renang) manakala Nabilah Ahmat Sharif (badminton) mengungguli kategori olahragawati.

Terdahulu dalam ucapannya, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata program Anugerah Sukan Negara 2010 menjadi simbol hubungan baik di antara kerajaan dan swasta dalam membangunkan sukan negara menerusi sumbangan penajaan Telekom Malaysia.

Ahmad Shabery turut menggesa persatuan sukan bijak menjadikan sebagai sukan mereka sebagai jalur pemasaran dalam mencari sumber tajaan swasta.

“Kita mesti menanam keyakinan kepada orang ramai bahawa sukan juga boleh menjana pendapatan bukan saja di kalangan atlit tetapi juga kumpulan sokongan yang lain,” kata Ahmad Shabery.

SENARAI PEMENANG

OLAHRAGAWAN KEBANGSAAN – Mohd Azizulhasni Awang (lumba basikal)

OLAHRAGAWATI KEBANGSAAN – Datuk Nicol Ann David (skuasy)

JURULATIH KEBANGSAAN – Stephen van Huizen dan Tai Beng Hai (hoki)

ANUGERAH KHAS – Datuk Lim Teong Kiat, Datuk Nashatar Singh

ANUGERAH KEPIMPINAN – Prof Datuk W.Y. Chin

PASUKAN LELAKI KEBANGSAAN – Pasukan hoki

PASUKAN WANITA KEBANGSAAN – Pasukan skuasy

OLAHRAGAWAN PARALIMPIK KEBANGSAAN – Zul Amirul Sidi Abdullah (renang)

OLAHRAGAWATI PARALIMPIK KEBANGSAAN – Nabilah Ahmat Sharif (badminton)

Tuesday, March 15, 2011

ANUGERAH SUKAN NEGARA

salam... sekian lama tidak meng'update' blog saya ini. lantaran kesibukan menguruskan website sukan MEDIASUKAN menyebabkan blog ini terbengkalai buat seketika kerana masih mencari baki-baki ruang menulis.

baiklah sebagai permulaan semula sedikit previu Anugerah Sukan Negara 2010 yang akan berlangsung malam ini di hotel mandarin oriental (sebelah klcc)...

Ditaja oleh Telekom Malaysia untuk julung kalinya, anugerah kali ini dilihat antara paling sengit sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus mencerminkan keupayaan atlit negara meneroka cabaran dunia.

Saingan getir dalam menentukan bakal pemenang terserlah dengan kehadiran tiga individu bereputasi besar yang mendahului senarai calon olahragawan.

Jaguh lumba basikal, Azizulhasni Awang dan ahli bina badan Sazali Abdul Samad serta bintang badminton negara Datuk Lee Chong Wei bersaing sesama sendiri dalam kategori yang pernah mereka ungguli.

Jika Azizulhasni melangkah ke podium tahun lalu untuk menerima anugerah 2009, Chong Wei dan Sazali memburu anugerah peribadi ketiga.

Chong Wei yang baru saja menjuarai kejohanan Seluruh England dengan menewaskan Lin Dan awal pagi ini, ditabal Olahragawan Kebangsaan pada 2005 dan 2008 manakala Sazali diisytihar penerima anugerah prestij itu pada 2000 dan 2006.

Melengkapkan senarai calon olahragawan ialah penjaga gol hoki negara, S. Kumar, pakar karate R. Puvaneswaran, raja skuasy Mohd Azlan Iskandar dan peserta bowling, Alex Liew.

Apakah ada di kalangan mereka yang mampu memecah penguasaan Chong Wei, Azizulhasni dan Sazali?

Anugerah Olahragawati Kebangsaan 2010 pula dijangka menjadi rebutan enam penjuru membabitkan empat pemenang pingat emas Sukan Komanwel.

Senarai pencalonan diketuai Olahragawati Kebangsaan sebanyak tujuh kali, Datuk Nicol Ann David.

Ratu skuasy dunia itu ditemani tiga lagi pemenang pingat emas Sukan Komanwel, iaitu penerjun muda Pandelela Rinong, peserta gimnastik berirama, Elaine Koon dan penembak negara, Nur Suryani Taibi.

Melengkapkan senarai pendek pencalonan ialah pakar wushu, Chai Fong Ying dan peserta karate-do, Lim Lee Lee.

Apakah Pandelela mampu menjadi penerjun pertama dalam sejarah menerima anugerah itu atau Nicol menjarakkan diri daripada pencabar lain dengan anugerah kelapan secara peribadi?

Bagi kategori pasukan, skuad hoki lelaki kebangsaan yang mencipta sejarah mara ke final Sukan Asia di Guangzhou menjadi pilihan hangat manakala pasukan skuasy wanita dilihat calon terbaik kategori pasukan wanita.

Sebagai menghargai sumbangan mereka dalam arena sukan tempatan dan dunia, beberapa individu dikenal pasti menerima anugerah kepemimpinan dan anugerah khas.