Sunday, May 12, 2013
SOALAN 1 : ARTIKEL / RENCANA - DASAR SUKAN NEGARA
Dasar Sukan Negara (DSN) telah menggariskan dua peranan utama Institut Pengajian Tinggi (IPT) iaitu untuk menggalakkan pelajar mengambil bahagian dalam aktiviti sukan secara aktif dan menyediakan peluang belajar kepada atlet sukan di Universiti. Kedua-dua peranan ini bertanggungjawab memberi garis panduan dalam usaha penyelarasan keseimbangan dan kesinambungan prestasi akademik dan pencapaian dalam bidang sukan di IPT. Ramai yang berpendapat bahawa kecemerlangan sukan akan berkubur sebaik sahaja pelajar-pelajar menjejakkan kaki ke Institusi Pengajian Tinggi. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku jika langkah-langkah pendekatan yang betul dilakukan.
Bagi tujuan ini Kementerian Pengajian Tinggi akan memainkan peranan secara khusus dalam memastikan pelajar IPT yang bergiat dalam sukan dijaga kebajikannya dan dapat terus bergerak secara aktif tanpa mengabaikan pembangunan akademik pelajar. IPT yang merangkumi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik dan Kolej Komuniti akan bekerjasama secara bersepadu dengan Majlis-majlis Sukan IPT iaitu Majlis Sukan Universiti-Universiti Malaysia (MASUM), Majlis Sukan IPTS Malaysia (MASISWA), Majlis Sukan Politeknik (MSP) dan Majlis Sukan Kolej Komuniti (MASKOM) untuk memastikan program-program pembudayaan sukan di IPT berjalan lancar seperti mana dirancang.
Perkara ini selaras dengan DSN yang dibentuk supaya semua pihak termasuk IPT dapat merancang, melaksana, membangun dan membudayakan sukan di IPT serta meneruskan program pembangunan sukan. Seterusnya menyediakan program sukan yang mencukupi, melatih dan melahirkan pakar-pakar sains sukan serta mengadakan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, swasta, persatuan sukan dan badan-badan sukan universiti antarabangsa. DPSIPT pula diwujudkan bagi merealisasikan hasrat Kerajaan untuk terus membangunkan sukan di IPT berdasarkan semangat DSN untuk memberi ruang kepada IPT untuk berada di persada utama dalam gerakan pembangunan sukan negara.
Sukan adalah penting di peringkat IPT kerana dapat melahirkan generasi profesional baru yang dapat memberi sumbangan besar kepada pembangunan sahsiah negara, melahirkan generasi yang berfikiran matang dan mempunyai asas pendidikan yang cemerlang serta daya tahan fizikal dan mental yang kuat.
Menyedari kepentingan sukan di kalangan warga IPT, satu dasar yang khusus perlu diadakan dan matlamat Dasar Pembangunan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (DPSIPT) ialah untuk menjadikan IPT sebagai pemangkin kepada kecemerlangan sukan negara serta mewujudkan budaya bersukan di IPT ke arah memperkasakan modal insan yang seimbang dan berkualiti dari segi akademik dan sukan. Seterusnya dapat melahirkan "The Thinking Athletes" atau Atlet Intelek di kalangan ahli-ahli sukan pelajar dengan mensasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus atlet negara terdiri daripada atlet IPT. Bagi memastikan agenda-agenda sukan di IPT berjalan lancar, Kementerian Pengajian Tinggi telah mewujudkan bahagian dan unit yang bertanggungjawab terhadap sukan. Organisasi sukan di peringkat Kementerian Pengajian Tinggi adalah:
1. Bahagian Sukan KPT
-yang bertanggungjawab merangka dan melaksana dasar sukan Kementerian, merancang pembangunan prasarana sukan, pengurusan sukan prestasi tinggi, sukan teras dan sukan massa. Bahagian ini juga bertanggungjawab menguruskan biasiswa sukan.
2. Unit Sukan, Jabatan Pengajian Tinggi
-menjadi organisasi penyelaras pelaksanaan program sukan di peringkat IPTA dan IPTS.
3. Unit Sukan, Jabatan Pengajian Politeknik
-menjadi organisasi penyelaras pelaksanaan program sukan di peringkat Politeknik.
4. Unit Sukan, Jabatan Pengajian Kolej Komuniti
-menjadi organisasi penyelaras pelaksanaan program sukan di peringkat Kolej Komuniti.
Sementara itu "The Thinking Athletes" iaitu atlet Intelek yang berwawasan adalah satu generasi baru yang mahu dibentuk bagi melahirkan satu generasi yang mempunyai kebolehan dalam bidang sukan dan mempunyai ciri-ciri keperibadian yang tinggi. Tujuan "The Thinking Athletes" adalah untuk mewujudkan satu fenomena bahawa sukan itu boleh dijadikan sebagai kerjaya yang mampu menjamin masa depan dan akan mengikis tanggapan bahawa IPT adalah kubur atlet untuk terus aktif bersukan. "The Thinking Athletes" juga bermaksud keupayaan atlet menggunakan ilmu pengetahuan yang diperolehi semasa di IPT untuk membantu meningkatkan pencapaian sukan yang diceburi ke tahap tertinggi dan kebolehpasaran yang terserlah apabila memasuki pasaran kerjaya. Objektif konsep ini adalah bertujuan:
- membentuk atlet yang sentiasa berusaha meningkatkan pencapaian, menggunakan aspek kognitif (keupayaan berfikir), mampu menganalisa, kreatif dan membuat perancangan sendiri.
- meningkatkan pencapaian sukan negara apabila ramai yang sentiasa mempunyai motivasi untuk lebih berjaya.
- menjadikan sukan sebagai kerjaya yang mampu menjamin masa depan dan atlet lepasan IPT akan lebih diberi perhatian oleh majikan apabila memasuki pasaran kerjaya.
Untuk tujuan itu golongan sasaran adalah merupakan atlet pelajar. Ini kerana atlet pelajar lebih mudah untuk diterapkan dengan konsep ini kerana mereka merupakan kelompok pelajar yang mempunyai bakat dan potensi sukan dan kelayakan akademik yang baik. Ini kerana mereka mempunyai asas yang baik dalam proses pembelajaran daripada atlet pelajar yang lebih banyak menumpukan sukan yang diceburi dan pelajar lebih matang dari segi pembahagian masa dan dalam membuat keputusan. IPT perlu menggilap atlet berpotensi besar, tenaga pengajar dan kakitangan di IPT, tetapi lebih memberikan tumpuan kepada para pelajar dan atlet.
Kekuatan fizikal dan mental perlulah diseimbangkan bagi melahirkan atlet pelajar untuk berjaya dalam bidang masing-masing. "The Thinking Athletes" akan membantu dan membimbing atlet pelajar dalam membentuk kekuatan diri, semangat juang dan dalam membuat pelan perancangan yang strategik.
Konsep ini akan mula dipraktikkan pada pelajar semasa mereka berada di IPT, tetapi digunakan segala ilmu itu sepanjang masa. IPT akan memainkan peranan yang penting dalam memupuk dan memberi pendedahan berterusan kepada atlet mengenai kepentingan aspek "The Thinking Athletes" yang berguna untuk masa depan mereka. Dengan adanya kerjasama daripada Kementerian Pelajaran, Kementerian Belia dan Sukan, Kementierian Pengajian Tinggi, IPT-IPT, Majlis-majlis Sukan di IPT, Majlis Sukan Negara (MSN), Institu Sukan Negara (ISN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) konsep ini dapat dijalankan dengan berkesan.
Selain itu beberapa seminar, bengkel dan latihan akan diadakn bagi meningkatkan lagi kemahiran atlet pelajar. Mereka akan dilatih dan diajar di bidang yang digemari untuk digunakan apabila menempuh alam pekerjaan. Di dalam sukan amat luas pekerjaan yang ada seperti dalam bidang sains sukan, pengurusan sukan, kejurulatihan, pegawai sukan, penyelidik sukan, pakar fisioterapi, penganalisa sukan dan pakar dietetik. Tujuan "The Thinking Athletes" adalah untuk menghasilkan satu golongan ataupun generasi baru yang mahir dalam bidang sukan yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa dan dapat membantu menaikkan imej sukan negara.
Dengan pelaksanaan aspek-aspek yang dinyatakan diatas, objektif "the Thinking Athletes" iaitu untuk mewujudkan nilai kebolehpasaran yang tinggi bagi atlet-atlet IPT di pasaran domestik dan anatarabangsa serta menepati sasaran dan unjuran bagi mencapai 30 peratus atlet kebangsaan yang mewakili negara terdiri daripada pelajar-pelajar IPT akan tercapai.
Bagi merealisasikan matlamat DPSIPT, Kementerian Pengajian Tinggi telah merangka 7 program teras utama yang akan diberi tumpuan dalam usaha memartabatkan sukan di IPT ke tahap yang lebih tinggi dengan melahirkan "The Thinking Athletes" iaitu:
1. Program Pembudayaan Sukan
2. Program Pembangunan Infrastruktur Sukan
3. Program Pembangunan Pusat Kecemerlangan Sukan
4. Skim Kecemerlangan/Kebajikan, Insentif dan Penyelidikan Sukan (SKIPS)
5. Program Pembangunan Akdemik Atlet
6. Program Pembangunan Pengajian Sukan di IPT
7. Program Promosi dan Jaringan Kerja
Kesimpulannya DPSIPT bukan sahaja bertujuan melahirkan atlet untuk IPT dan negara bahkan menjadikan pembangunan sukan dan akademik di IPT sebagai penjana dalam melahirkan modal insan dan profesion atau produk "The Thinking Athletes" yang mempunyai nilai pasaran serta dapat dikomersilkan di dalam negara dan antarabangsa. Dengan adanya DPSIPT, segala tanggapan umum bahawa IPT sebagai kubur kepada atlet dapat ditepis dan DPSIPT dapat menjaga kebajikan dan mengembangkan lagi bakat atlet IPT hingga dapat melahirkan "The Thinking Athletes" yang membanggakan.
Perancangan yang jitu dan implementasi yang tepat mampu memberikan impak yang mendalam dan berkesan dalam meyakinkan pelbagai pihak bahawa sukan mampu dan terbukti telah melahirkan atlet-atlet serta warganegara yang berupaya memacu Malaysia ke arah sebuah negara yang cemerlang dan gemilang dan matlamat mensasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus atlet negara datang dari atlet pelajar dapat direalisasikan.
SOALAN 2 : PENGEMBARAAN DALAM NEGARA - LANGKAWI
Semua orang pastinya ingin menikmati saat-saat berseronok dengan mengembara di mana-mana tempat yang diminati. Bukan sahaja ia meluaskan pandangan, tetapi juga sedikit sebanyak mengajar kita menghargai setiap inci bentuk kurniaan Tuhan di atas muka bumi ini. Sebagai seorang yang suka mengembara atau melancong, saya turut terpanggil untuk berkongsi sedikit catatan yang mungkin boleh dijadikan panduan buat rakan-rakan atau pembaca yang ingin ke tempat sama. Lokasi yang saya maksudkan ialah PULAU LANGKAWI.
Mungkin kedengaran agak sudah menjadi kebiasaan kerana siapa yang tidak pernah ke Pulau Langkawi bukan. Boleh kata majoriti rakyat Malaysia pernah menjejakkan kaki ke pulau yang penuh dengan legenda dan mitos selain dikenali dengan Pulau yang mempunyai kepelbagaian keseronokan dan keterujaan membeli belah kerana bebas cukai.
Untuk tiba di Langkawi terdapat 2 pintu masuk, iaitu di Kuah jika menaiki feri dan juga di Lapangan Terbang Antarabangsa, Padang Matsirat melalui jalan udara. Tetapi apa yang saya ingin kongsikan ialah jika kita memandu dan menaiki feri. Ada baiknya kita rancang perjalanan kita dengan teratur supaya kita tidak kerugian masa dan kos perbelanjaan disamping dapat memenuhi kepuasan percutian.
Jika kita menggunakan jalan darat cadangan saya ada baiknya kita menaiki feri di Kuala Perlis, Perlis kerana selain mempunyai kawasan parkir yang banyak, persekitaran sekeliling juga selesa. Walaupun Pulau Pinang dan Kedah turut mempunyai feri ke Pulau Langkawi tetapi bagi saya lebih selesa jika kita menaiki feri di Kuala Perlis.
Setibanya di Jeti Kuah di Pulau Langkawi perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mencari kenderaan sewa, sama ada motorsikal atau kereta. Ini kerana ia dapat menjimatkan perbelanjaan membayar teksi atau kereta sewa yang agak tinggi selain kita boleh bergerak ke mana-mana di sekitar pulau dengan mudah. Kadar bayaran sewa kereta contohnya kebiasaan dalam harga 60 ringgit semalam.
Seterusnya kita perlu mencari tempat penginapan. Jika kita telah membuat tempahan lebih awal itu lebih mudah tetapi sebenarnya tidak sukar mencari penginapan di Pulau Langkawi kerana terlalu banyak hotel dan chalet di tempat-tempat tumpuan di Pulau Langkawi. Jika anda lebih gemarkan percutian dibandar sambil membeli belah, Kuah lah tempatnya. Jika anda gemarkan pantai yang cantik dan indah, ada banyak pantai-pantai boleh dipilih. Juga percutian ala kampung turut boleh dicari di Pulau Langkawi.
Bagi saya Pantai Chenang menjadi pilihan kerana jelas ianya boleh menenangkan fikiran, walaupun sibuk dengan pelancong. Pelancong antarabangsa turut menjadikan Pantai Chenang sebagai tumpuan untuk berehat dan bersantai. Sepanjang Pantai Chenang lebih dari 20 resort dan chalet boleh dipilih. Bukan itu sahaja, Pantai Chenang juga terdapat akuarium besar iaitu Waterworld Langkawi. Untuk ke Pantai Chenang dari Kuah mengambil masa kira-kira 45 minit memandu. Pantai Chenang terletak di mukim kedawang.
Selesai mendapatkan penginapan, kita sudah boleh merancang hala tuju di Langkawi. Kita boleh pilih penginapan mengikut kemampuan. Saya kebiasaannya mencari chalet yang berharga tidak lebih 150 ringgit semalam kerana apa yang lebih menjadi kepuasan saya ialah keseronokan bercuti. Selesai mendapat penginapan sekitar tengahari saya akan memulakan pemanduan sekitar pulau. Oleh kerana saya lebih suka kepada pengembaraan yang lebih santai, mencabar dan lain dari yang lain, maka kawasan-kawasan mitos dan legenda bukan menjadi tumpuan saya.
Tempat pertama menjadi tujuan saya ialah ke kawasan pelancongan agak moden iaitu kereta kabel. Ia terletak berhampiran Teluk Burau di puncak Gunung Matcincang. Untuk tiba ke sana mengambil masa kira-kira 40 minit memandu melalui bukit-bukit tepi pantai.
Tetapi sebelum tiba di sana ada baiknya singgah dahulu di Padang Matsirat kerana disitu terdapat kawasan Beras Terbakar, Antara mitos dan Legenda yang terdapat di Langkawi. Sebenarnya tiada apa yang lebih menarik di Beras Terbakar. Apa yang ada hanyalah sebuah rumah penjaga kawasan beras terbakar itu. Tetapi elok juga jika melawat di sana sebagai menambah pengetahuan apa yang ada di Langkawi. Beras Terbakar terletak di Kampung Raja, Padang Matsirat.
Selesai singgah di Beras Terbakar, perjalanan diteruskan ke Gunung Matcincang untuk menaiki kereta kabel. Untuk ke sana sekali lagi kita akan melalui Teluk Burau atau dengan nama baru Teluk Baru. Di sini kita boleh melihat kapal-kapal mewah berlabuh sambil melihat keindahan sekitarnya dan pantai-pantai. Boleh juga mengambil gambar jika mahu.
Ok seterusnya kita akan ke Kereta Kabel Langkawi. untuk menaiki kereta kabel Langkawi tiket berharga 15 ringgit untuk pemegang kad pengenalan Malaysia manakala 20 ringgit warga asing. Tiba di atas puncak Gunung Matcincang kita boleh melihat keseluruhan Pulau Langkawi. Betapa indahnya ciptaan Tuhan yang menjadikan Pulau Langkawi tumpuan pelancong dunia. Jangan lupa kita juga boleh menguji keberanian di Gunung Matcincang kerana terdapat jambatan gantung di atas puncak itu. Kita boleh duduk di atas gunung tersebut selama mana mengikut kepuasan sendiri.
Puas sahaja di atas tiba masa untuk kembali ke tempat penginapan dan merancang kawasan tumpuan lain keesokannya. Kita boleh singgah di Air Terjun Telaga Tujuh di sebelah kawasan kereta kabel, satu lagi kawasan legenda dan mitos Langkawi. Mengikut cerita masyarakat sekitar ia merupakan rangkaian air terjun mengalir ke tujuh telaga semula jadi. Curahan dari telaga pertama terjadi sebatang sungai kecil dan menerusi ke telaga yang lain. Berdasarkan cerita rakyat, ini adalah tempat permainan bidadari dan syaitan.
Rancangan keesokannya ialah mengembara ke pulau-pulau berhampiran. Walaupun di Pulau Langkawi terdapat kira-kira 99 pulau-pulau kecil, namun hanya beberapa pulau sahaja menjadi tumpuan pelancong. Dari Pantai Chenang kita boleh memilih pakej sedia ada dengan menaiki bot. Harga adalah sekitar 25 ringgit ke 35 ringgit seorang. Pakej ialah dengan menjelajah 3 pulau iaitu Pulau Dayang Bunting, Pulau Singa Besar dan Pulau Beras Basah.
Pulau Dayang Bunting adalah unik kerana didalamnya ada tasik. Walaupun airnya bersambung dengan laut tetapi tidak masin. Pulau singa Besar adalah pulau yang tidak diusik dan kita akan melalui sekitar pulau tersebut sambil memberi makan kepada burung helang. Manakala pulau beras basah amat cantik dengan pasir yang putih dan kita boleh mandi manda di situ. Kebiasaannya kita akan berada seharian di 3 pulau tersebut.
Pulang pada hari ketiga singgah dahulu di pekan Kuah membeli belah di sana. Periuk, pinggan mangkuk amat murah sekali. Tidak sah rasanya jika tidak pulang dengan membawa pinggan mangkuk. Bermacam pilihan coklat juga boleh dibeli dengan harga murah selain minyak-minyak dari gamat untuk tujuan pengubatan tradisional.
Banyak lagi tempat yang boleh dilawati di Pulau Langkawi. 3 hari 2 malam tidak puas rasanya kerana terdapat banyak kawasan boleh dilawati terutama kawasan Geopark yang telah pun diiktiraf ke 49 dunia dan pertama di Asia Tenggara oleh UNESCO.
Pulau Langkawi bagi pendapat saya merupakan pulau peranginan merangkumi keseluruhan kehidupan iaitu dari sejarah, legenda, mitos, hiburan dan juga sains dan teknologi. Sekali pergi tidak memadai. Harus ke sana berkali-kali baru puas hati...
SOALAN 3 : MEMORI DI SEKOLAH
Setiap orang pastinya mempunyai memori di sekolah yang akan sentiasa diingati sampai bila-bila. Ianya lebih kepada pengalaman hidup mengajar erti kedewasaan.
Saya juga turut mempunyai memori di sekolah akan akan terus terpahat dalam ingatan. Memori tersebut ialah bermain 'BOLA KETAM'. Mungkin ada yang tidak pernah mendengar apa itu permainan bola ketam. Dan saya rasa mungkin sekolah saya sahaja yang mengamalkan permainan ini.
Bersekolah di kota Metropolitan Kuala Lumpur tidak bermakna kita harus asyik mengikuti peredaran zaman. Perlu juga mengekalkan tradisi supaya ianya kekal dalam ingatan pelajar. Itulah sekolah saya Sekolah Menengah Seri Ampang, Kuala Lumpur. Bermula dengan nama Ampang Road Boys School pada tahun 1963 sehingga ditukar nama kepada Sekolah Menengah Seri Ampang pada tahun 1989 sehingga kini, nostalgia permainan bola ketam tetap terpahat dalam ingatan pelajar sehingga kini.
Bermain bola ketam selalunya pada waktu pendidikan jasmani. Setiap kali waktu tersebut jika tiada pelajaran dalam kelas, guru PJK berbangsa Cina kami akan arahkan pelajar ke gymnasium. Gymnasium pada waktu itu lebih kepada dewan besar berlantaikan papan. Di tepi-tepinya ada palang untuk bergayut. Itulah konsep gymnasium zaman dahulu di sekolah.
Dengan hanya berbekalkan singlet atau t-shirt atau baju dalam, seluar sekolah dan kasut sekolah (kerana kami memang malas pakai pakaian sukan selain kebanyakan kami bukan orang senang), begitulah kami bermain bola ketam.
Bermain bola ketam sama macam sukan bola lain, iaitu berebut bola dan berusaha menjaringkan gol. Keluasan biasanya sebesar separuh dewan atau saiz gelanggang futsal. Cuma perbezaan ketaranya ialah kedudukan pemain atau postur badan pemain itu untuk bermain bola ketam.
Permainan bola ketam lebih kepada permainan santai. Tiada undang-undang, tiada peraturan. Yang ada cumalah peraturan kedudukan badan supaya ia dapat digelar bola ketam. Main bola ketam tak boleh berdiri, jauh sekali untuk berlari, yang penting harus bermain menggunakan kaki. Cuba bayangkan kalau kita mengikut kedudukan haiwan berkaki empat, kedua-dua tangan dan kaki di lantai. Tetapi lebih mencabar lagi ia harus di kedudukan terbalik atau kedudukan badan menghala ke atas. Itulah dia kedudukan jika bermain bola ketam.
Dengan kedudukan dan postur tersebutlah kita mengejar bola, menggunakan kekuatan tangan dan kaki untuk 'berlari' dan seperti biasa kaki digunakan untuk menyepak bola. Sebenarnya bermain bola ketam tidak semudah disangka. Ia mengundang keletihan yang cepat akibat menampung badan menggunakan tangan sambil mengejar bola. Tetapi keseronokan tidak tergambar apabila ia bukan sahaja kepada sasaran kemenangan, tetapi juga ikatan persahabatan apabila terlalu banyak kelucuan yang akan terjadi ketika bermain bola ketam.
Saya tidak pasti dari mana datangnya permainan ini tetapi itulah keunikan sekolah kami dan saya percaya di sekolah kami lah yang memulakan permainan itu dan saya juga percaya di sekolah kamilah satu-satunya yang bermain bola ketam. Sesuatu tinggalan yang pasti tidak akan dilupakan oleh sesiapa yang pernah menuntut di sekolah itu.
Keistimewaan itu jugalah yang merapatkan hubungan sesama pelajar dan bekas pelajar apabila bertemu di majlis-majlis 'reunion'. Saya percaya memori inilah yang akan terus mempopularkan Sekolah Menengah Seri Ampang sampai bila-bila. Saya percaya jika ianya terus dikekalkan tidak mustahil ia bakal menjadi pelopor sebahagian acara karnival yang menerbitkan kemeriahan, keseronokan selain kelucuan apabila bermain.
Kepada rakan-rakan AROBA... Salute!
Faisal Jamal
AROBA 1990-1994
SOALAN 4 : ULASAN / KOMEN "BR1M 2"
BR1M atau Bantuan Rakyat 1 Malaysia adalah bantuan kewangan yang disalurkan kerajaan kepada mereka yang layak. Kebiasaannya adalah mengikut pendapatan isi rumah.
Berbeza dengan BR1M peringkat awal, BR1M fasa kedua atau BR1M 2 memperluaskan lagi pemberian bantuan kepada rakyat Malaysia yang masih bujang. Bermakna bukan sahaja isi rumah (keluarga) yang layak boleh mendapat bantuan tersebut tetapi juga mereka yang masih bujang. Jumlah yang diberikan adalah RM500 (isi rumah) dan RM250 (bujang). Untuk BR1M kerajaan memperuntukkan kira-kira 3 billion ringgit.
Walaupun ia sedikit sebanyak mengurangkan beban rakyat, tetapi saya lebih memandang BR1M 2 sebagai bonus sahaja. Bermakna ia tidak banyak membantu mengurangkan beban mereka yang layak. Bermakna sekiranya dibayar sekali setahun, itulah bonus tahunan kepada mereka yang kurang berkemampuan dan layak menerimanya. Oleh itu ia tidak lebih sekadar sumbangan tahunan.
Pada pendapat saya BR1M 2 harus dilihat dalam konsep yang lebih luas. Ya, sememangnya ia membantu mengurangkan beban yang ditanggung 'pada ketika itu' maka konsep itu perlu diperluaskan supaya bantuan itu boleh diertikan sebagai 'mengurangkan beban yang ditanggung pada setiap masa'. Maksudnya disini atas dasar ingin memajukan negara kehidupan rakyat juga harus dibawa bersama kemajuan itu bukan meninggalkan ia di belakang. Mungkin cara terbaik pemberian BR1M boleh dikerapkan lagi mengikut perkiraan 3 bulan sekali (4 kali setahun) atau lebih menarik jika diberikan dalam kekerapan 2 bulan sekali (6 kali setahun). Bermakna kerajaan hanya perlu mengeluarkan peruntukan kira-kira 12 billion ringgit ke 18 billion ringgit setahun sahaja jika hendak dibandingkan dengan kemajuan yang dikejar setiap tahun yang menelan berpuluh-puluh billion sedangkan kehidupan rakyat terus tertinggal di belakang.
Syarat-syarat pemberian juga perlulah diperketatkan dan diperhalusi sedalam-dalamnya. Bukan memilih secara rawak dan kurang ketelusan apabila mereka yang tidak layak turut menikmati pemberian ini sedangkan mereka yang layak pula adakalanya tiada dalam senarai penerima. Kita tidak harus semata-mata mengharapkan rakyat untuk membuat segala urusan sendiri kerana kebanyakan mereka yang layak semamangnya tidak tahu menggunakan teknologi mengisi borang dan ketinggalan dari arus permodenan. Kebiasaannya mereka yang tinggal di luar bandar dan tidak mendapat pendidikan yang sempurna dan teratur, hanya mengharapkan kepada kais pagi makan pagi. Jauh berbeza daripada mereka 'yang tidak layak turut mendapat bantuan' apabila golongan-golongan sebegini mudah mencari kesempatan atas kecerdikan yang dimiliki tanpa memikirkan soal kemanusiaan.
Bermakna peranan Wakil-wakil Rakyat, Ahli Jawatankuasa Kemajuan Kampung, Ketua-ketua kampung, Penghulu-penghulu, tok-tok sidang, pengerusi-pengerusi surau dan masjid, ketua-ketua agama kawasan, ahli-ahli keluarga waima jiran tetangga amat penting bagi memastikan tiada keciciran dalam jumlah penerima bantuan ini selain dapat mengenalpasti mereka yang benar-benar layak sahaja boleh menerima bantuan. Dalam konteks ini semua yang terlibat harus lebih mempunyai kejujuran dan integriti tanpa mengambil kira siapa yang memohon asalkan mereka itu layak. Dengan itu tidak akan timbul soal kroni, pilih kasih, pilih bulu, kejam dan zalim dari rakyat.
Bukan itu sahaja, cara pemberian BR1M 2 juga adalah terlalu jauh menyimpang dari hasrat sebenar. Penerima disuruh hadir ke dewan-dewan rakyat, beratur panjang semata-mata untuk mengambil nilai sebanyak 500 ringgit itu. Adakala sampai menunggu lebih sejam. Kalau bantuan bujang tidak mengapalah juga kerana penerimanya bujang dan majoriti sihat. Tetapi tidakkah kita berfikir penerima bantuan isi rumah itu? yang kebanyakkannya warga-warga tua, yang uzur, orang-orang kurang upaya, mereka yang miskin yang tiada kenderaan untuk bergerak. Bukanlah lebih mulia jika wakil-wakil rakyat atau kakitangan yang ingin memberikan bantuan atau ditugaskan memberi bantuan ini dapat berkunjung ke rumah-rumah golongan ini. Kerana ia jelas akan mengurangkan segala beban untuk bergerak ke pusat pemberian bantuan ini. Bukan itu sahaja setidak-tidaknya wakil rakyat atau mereka yang bertugas dapat menyelami sendiri penderitaan yang ditanggung apabila berkunjung ke rumah penerima dan lebih membuka mata untuk terus memberikan bantuan dari sudut lain pula. Memang ia nampak seperti mengambil masa lama untuk pergi ke sesebuah rumah tetapi bukankah boleh melantik sukarelawan atau kakitangan sementara yang boleh menjalankan tugas itu. Asalkan orang itu mempunyai integriti dan kejujuran. Jika ianya nampak sukar juga, bukankah boleh bank-in ke dalam bank penerima? kerana sudah tentu penerima ada wakil yang boleh ke bank dan mengambil wang tersebut. Ini sekadar cadangan kerana apa yang penting ia memudahkan semua pihak bukan sekadar mengambil kesempatan untuk menunjuk-nunjuk pemberian itu ke dalam akhbar atau televisyen.
Kita mengharapkan agar pemberian BR1M lebih menjiwai rakyat, bukan sekadar melepas batuk ditangga, mengambil kesempatan meraih publisiti atau mencari populariti kerana apa yang penting ialah kebajikan rakyat terus terbela. Kerana jika nak diikutkan sememangnya bantuan ini tidak mencukupi. Tetapi langkah lain boleh dilaksanakan kerajaan untuk menyeimbangkan kehidupan rakyat dengan kos kehidupan yang semakin tinggi. Setidak-tidaknya rakyat tidak tercicir dalam mengejar arus kemodenan dan kemajuan negara selain dapat mengatur kehidupan dengan lebih sempurna tanpa bebanan yang tinggi.
SOALAN 5 : PETUA MEMBAKAR LEMAK - TIPS-TIPS MELANSINGKAN BADAN
Assalamualaikum wbt
Sudah menjadi kebiasaan hidup manusia untuk sentiasa kelihatan cantik terutama bagi menonjolkan bentuk tubuh badan yang menarik dan menjadi perhatian ramai.
Namun dalam pada itu juga timbul kebimbangan kerana pengambilan jumlah makanan yang tidak mengikut sukatan sepatutnya, makan diluar waktu kebiasaan dan kekurangan senaman sering mengakibatkan bentuk tubuh badan semakin membesar selain pengumpulan lemak-lemak yang tentunya mengurangkan daya tarikan seseorang.
Justeru saya ingin berkongsi petua membakar lemak dengan lebih berkesan dengan itu kita tidak perlu bimbang mencari penyelesaian masalah itu. Saya petik tips-tips berharga ini dari Majalah Keluarga.
Panduan membakar lemak
1. Minum air putih kerana tubuh kita memerlukannya dalam kuantiti yang banyak. Ia tidak hanya bertindak untuk mengeluarkan toksin-toksin dalam badan bahkan akan membuatkan tubuh berasa lebih sihat dan segar. Paling bagus mengenai air putih ia langsung tidak mempunyai kalori.
2. Jauhkan diri daripada air manis yang terdapat dalam air botol terutamanya minuman berkarbonat. Ramai menyedari betapa gula yang ada didalam air begini tinggi kuantitinya dan ia bermaksud kalori. Lebih banyak gula boleh dikurangkan di dalam air botol adalah lebih baik untuk tubuh. Tidak salah jika teringin untuk menikmatinya tetapi ambil langkah dengan menambah air putih ke dalamnya.
3. Dalam berdiet, adalah lebih bagus jika dapat menambahkan bahan yang boleh membekalkan lebih air seperti tomato dan tembikai. Pengambilannya tidak perlu dirisaukan kerana kedua-duanya mengandungi 90% air, jadi ia tidak mendatangkan sebarang masalah. Ia boleh dimakan tanpa perlu memikirkan berat badan akan bertambah.
4. Ramai diantara kita gemar memesan minum jus buah-buahan ketika makan diluar. tetapi sebenarnya makan buah-buahan segar adalah lebih baik dari jusnya, ini kerana minuman jus akan ditambah dengan gula sedangkan buah-buahan segar sudah memiliki gula semulajadi dan membekalkan banyak fiber yang diperlukan oleh tubuh. Selain itu, ia juga merupakan sumber kepada banyak vitamin.
5. Adalah lebih bagus jika anda ialah pengemar sayur-sayuran terutamanya sayuran hijau. Pengambilanya merupakan antara cara terpantas untuk mengurangkan lemak dibadan. Hasilnya dapat dilihat pada mereka yang sering makan salad jadi apa salahnya jika menu itu dicuba dalam rutin harian anda.
6. Pantang sahaja nampak makanan semuanya ingin dijamah. Persepsi begini harus diubah menjadi makan hanya apabila perut terasa lapar. Adakalanya diet boleh rosak hanya disebabkan satu malis yang dihadiri.
7. Makanan bergoreng adalah sangat ditegah jika anda dalam proses mengurangkan berat badan. Lagi banyak makan bergoreng dielakkan lagi cepat pengurangan berat badan dapat dicatatkan. Meski pun sudah ditoskan namun minyak masih terselindung dalam makanan dan sukar untuk dihilangkan.
8. Makanan masin atau bergaram perlu dielakkan. Mungkin ramai yang tidak tahu, garam juga boleh menjadi salah satu punca kepada obesiti. Jadi pastikan masakan anda hanya menggunakan garam yang sedikit dan jika boleh, kurangkan sedikit demi sedikit.
9. Senaman juga perlu untuk pembakaran lemak. Anda pasti terkejut dengan apa yang boleh dihasilkan melalui senaman pernafasan. Jika dilakukan dengan betul, senaman ini turut membakar lemak. Otot dibahagian-bahagian tertentu akan merasa tegang setiap kali anda tarik dan menghembuskan nafas.
10. Akhir sekali anda mungkin boleh menyertai perlbagai aktivi, contohnya kelas tarian. Tarian merupakan cara bagus untuk membakar lebihan kalori. Tarian yang sesuai ialah tarian rancak dan jika aktiviti ini dilakukan dengan konsisten, anda akan dapat lihat hasilnya.
Kesimpulannya ia bukan sahaja dapat memberikan kita saiz badan yang ideal, malahan menjamin kesihatan yang lebih sempurna dalam mengharungi kehidupan seharian.
Selamat beramal!
Subscribe to:
Posts (Atom)