Saturday, January 4, 2014

Langkawi - 1001 macam

 
antara suasana di pantai cenang


Salam... Dah start kembali persekolahan... Maknanya dah sakan lah semua bercuti... Kalo ikut cuti budak sekolah lebih sebulan. Maknanya macam2 tempat dah pergi.. Aku pun x mau lah cerita budak sekolah sebab baru hari pertama. Tapi aku nak cerita perihal cuti sekolah baru2 ni.. Sementelah aku pun baru jugak la seminggu lalu berkesempatan ke pulau lagenda mahsuri so nak cerita la sedikit pemahaman aku pasal pulau bebas cukai ni..

Aku ni nak cerita pasal langkawi ni bukanlah apa, sbb bagi aku langkawi ni dah ibarat rumah kedua aku walaupun aku x de rumah pun disana. Tapi dek kerana kekerapan ke sana sejak lebih 10 tahun lalu (dah kene sumpahan mahsuri kot) jadi sedikit sebanyak aku nak simpulkan tempat yang menjadi pilihan semua golongan rakyat malaysia tanpa sempadan termasuk pilihan warga asing sama ada yg berstatus pelancong asing, pendatang asing mahupun pelajar asing.

Jadi setelah lebih 10 tahun mengkaji tempat ni aku boleh simpulkan beberapa perkara mengikut pemahaman dan kajian serta pengalaman aku:

Kategori pelancong yg melancong
* pengembara, santai atau backpackers
* pelancong berkeluarga
* rombongan / agensi pelancongan
* bekerja sambil melancong (kursus, urusan rasmi etc)
* melancong sambil bekerja
* pelancong bulan madu
* pelancong pelabur

Daripada kategori di atas ada pula pecahan2 kecil yg boleh diandaikan.

* pengembara, santai atau backpackers
Kategori ni adalah kebiasaannya golongan yg datang untuk melepak. Biasanya kalau dari luar malaysia mereka akan tinggal dalam tempoh agak lama melebihi 7 hari / seminggu. Lokasi pilihan biasanya di kawasan pantai lah. Kalo boleh diorg ni nak bilik betul2 tepi pantai. Mereka ni juga adalah dalam kategori budget traveller. Maknanya kalau dari segi penginapan pun paling murah yg boleh dapat contoh dormitory. Tapi kalo ada budget lebih skit (tukaran dollar lebih mahal dari malaysia) mereka akan cari chalet. Sbb biasanya yg dtg dari kategori ni adalah org eropah. Aku tak nampak orang2 asia dalam kategori ni. Kalau ada pun terlalu kecil peratusannya.. Tambahan pak arab diorg mana main stail2 ni.. Dan diorg pun dtg malaysia tak main bawak backpack 40liter 60liter tu. Diorg datang malaysia bawak beg tarik berkilo kilo 3 4 beg. Maklumlah kategori kaya gila.. Tinggal pun hotel mewah. Semua nak selesa.

Ok sambung geng2 mat salleh ni... So sistem perbelanjaan diorg pun sgt minima.. Kalo di langkawi port paling baik ialah di pantai cenang. Lagipun situ je yg paling membangun di langkawi. Jadinya bila diorg kat pantai cenang keje diorg berjemur, baca buku. Malam melepak minum dll.. Biasanya mmg diorg dtg utk melepak dan berhibur itu je. Toksah harap la nak tgk diorg bbelanja sakan. Sbb diorg pun malas nak memberatkan beg diorg. Paling2 pun diorg sewa moto ronda pulau.


* pelancong berkeluarga
Haa yg ni lagi byk kategori.. Ada yg dtg semata-mata nak rasa pergi langkawi, ada yg dtg nak melepak bersama keluarga di pantai, ada yg dtg semata-mata nak bershopping dan ada yg dtg sbb nakkan percutian 'all in'.. Mksudnya semua ada. Dari pantai, makan, lepak, shopping, kompleks dll. Kategori ni biasanya tahap perbelanjaan diorg susah dikawal walaupun diorg cuba mengawalnya.. Nanti aku cerita bab lain pasal perbelanjaan dilangkawi. Sbb kalo dtg keluarga sah sah kene sewa kereta, bilik pun kene lebih, belanja makan minum kene lebih, itu belum termasuk kalo dah terjebak dalam port periuk kuali dan coklat. Biasanya kalo famili yg datang memang nak melepak dan berjalan diorg akan duduk lama skit contoh 3 atau 4 malam. Tapi kalo yg jenis dalam fikiran kuali dan coklat biasanya diorg akan tinggal 2 malam je sbb peruntukan banyak pergi ke shopping hehehe.. Aku? Biasanya suka lepak dan jalan2 je.. Tapi balik tak banyak skit coklat mesti bawak balik. Periuk kuali? Selama aku berkeluarga belum lagi aku beli bawak balik kl. Tak minat...

* Rombongan / agensi pelancongan
Ok yg ni simple je... Biasanya mind set yg datang rombongan ni ialah periuk kuali dgn coklat je. So diorg x kisah pun tinggal kat mana dalam langkawi ni... Yg jauh dari pekan kuah pun ada. So biasanya jadual perjalanan bas rombongan ni paling basic ialah tempat2 lagenda atau bersejarah. Tapi tempat2 ni kejap je pun. Biasa tempat2 yg lama ialah tempat2 tumpuan ramai. Kalo kat langkawi setakat pengamatan aku 2 tempat je pun. Underwater world dan cable car. Tempat2 yg bas rombongan biasa tinggalkan lama skit ialah tempat2 beli belah. Contoh coklat, periuk kuali, minyak gamat. Minyak gamat pun dah kurang sbb pengilang dah eksport keluar.. Agensi pelancong ni pun bijak gak. Diorg tgk ahli rombongan, dari mana, tahap sosial dll.. Kalau kata rombongan tu dari luar malaysia, haa ni diorg akan ada tambahan tempat mcm pusat2 kraf, batik2, hasil seni dll.. Selain boleh perkenalkan hasil seni org malaysia, pemandu pelancong pun ada la extra income skit.. Ok aku bocor rahsia... Setiap tempat driver bas / coach bawak, ada percentage untuk diorg hasil dari sales keseluruhan rombongan itu. Ini perkara biasa dalam sistem marketing dan business. Sistem sama digunakan untuk pemandu teksi pulau yg bawak pelancong harian ke tempat2 tertentu yg ada bual beli.


*bekerja sambil melancong
mereka ni biasanya dari kumpulan yang ada urusan di langkawi. tetapi majoriti ialah peserta kursus. lebih2 lagi jabatan kerajaan suka sangat buat kursus di langkawi selain sabah sarawak. so yang pergi kursus akan ambil kesempatan terutama bila di akhir kursus untuk beli belah sebelum balik. biasanya coklat la. kategori ni x berjalan sangat pun. kursus dan akhirnya ada renggang sehari diorg akan shopping. kadang2 abis waktu sblh petang pun sempat la jalan sekejap2 di pekan kuah. sbb biasanya kursus memang akan diadakan di hotel2 di sekitar kuah. ada juga diantara peserta kursus ni mengular masa kursus. jalan jauh2 skit. biasa la ambil kesempatan. cuma apa aku tgk org yg pergi kursus ni jarang bawa duit yg banyak so belanja mereka pun ala kadar je. 

*melancong sambil bekerja
haa yg ni pun kategori sambil menyelam minum air.. ada yg nak lepak lama skit di langkawi, so diorg cari la keje sampingan buat isi poket.. biasanya duit tempat tinggal memang cukup2 so nak extra la katakan.. ada yg terlebih bijak cari kawan di langkawi, so boleh la share duit tempat tinggal... ada yg lagi bijak (yg ni aku maksudkan org luar malaysia) cari pasangan sementara di langkawi. tolong itu ini.. biasa pasangan tempatan itu orang2 beniaga kecil-kecilan atau sederhana sehingga besar-besaran. jadi pelancong luar ni dah save banyak... korang jgn marah atau fikir lain... tak percaya? sila buat kajian mendalam hehehe... sbb tu ada rakyat tempatan yg berbinikan orang jepun, orang eropah dll... yang berlakikan org luar pun ada tapi aku rasa terlalu sedikit... byknya yang berbinikan org luar...


*pelancong bulan madu
yang ni biasalah... honeymoon... datang nak bercintan cintun... jalan sana sini ikut budget, shopping pun ala kadar... yang penting honeymoon... jenis ni suka privacy skit... biasanya yg honeymoon datang langkawi sangat jarang... so diorg akan pilih privacy dan ada la skit2 yang mendatangkan kasih sayang macam jalan pulau, jalan2 naik kereta dan macam2 lah... yang ni kurang skit shopping sbb hadiah kawin pun dah banyak. so sekadar beli coklat, ole-ole buat ibu bapa adik beradik...

*pelancong pelabur
yang ni biasa bukan datang sekali, memang datang byk kali lah. terutama bila ada buat pelaburan di langkawi. datang tgk market, kot ada yg boleh ditambah atau dikurang. sambil2 mengukuhkan kedudukan sebagai salah seorang warga langkawi secara tidak langsung. ada juga yg belum jadi pelabur, tapi sering datang utk tengok potensi pelaburan menarik.. aku mungkin boleh dalam kategori ni kot... sbb setiap kali aku dtg terutama 5 tahun kebelakang aku sentiasa fikir apa yang aku boleh sumbang yang beri keuntungan kepada aku. insyaAllah aku dah nampak... dan aku akan pastikan ia jadi kenyataan sedikit masa lagi.. cuma nak cari masa dan kedudukan yang sesuai... sbb biasalah bila dalam jarak jauh banyak kene fikir dan rancang. tak boleh langgar semacam...


 



jadi inilah sedikit sebanyak pemahaman aku pasal langkawi ni... kesimpulannya kalo ikut dulu dan kini la kan, aku berani bet org datang langkawi kini terutama pelancong domestik ialah atas tujuan periuk kuali dan paling utama coklat. dan kalo ikut tempat lawatan, tempat bersejarah dan lagenda bukan lagi satu keutamaan. paling utama ialah nak pergi cable car dan under waterworld. dari keseluruhan pulau langkawi hanya 2 kawasan pilihan utama iaitu KUAH dan PANTAI CENANG. kuah biasanya pelancong domestik sbb byk tempat shopping. disini mereka biasa akan menginap. manakala pantai cenang ramai pelancong asing. sbb lebih ke arah hiburan, lepak, santai. kalau korang pernah pergi langkawi korang akan tahu mana tempat masuk harga mahal, mana tempat murah, mana tempat ramai orang mana tempat x de orang datang. so itu sahaja dah boleh menceritakan langkawi itu sendiri.


sebenarnya ada lagi satu kategori iaitu pelancong kaya raya... yg ni tak payah cerita lah sebab memang dah kaya kan. so diorg boleh pegi mana diorg suka... hehehe

ok nanti aku sambung lagi pasal langkawi... ciao!




Friday, January 3, 2014

PIALA DUNIA SUDAH DATANG MALAYSIA





ok... ini tahun banyak sukan besar-besar punya... dan yang paling hangat tentunya Piala Dunia Brazil yang dilangsungkan Jun nanti.

Kehangatan piala dunia semakin terasa apabila piala berprestij itu tiba di subang petang tadi dari vietnam untuk hentian ke 56 di Malaysia dari penjelajahan 88 buah negara dalam jangkamasa 267 hari bagi mempromosi perlawanan bola sepak yang dinanti hampir seluruh pelusuk dunia itu.

Piala tersebut berlepas dari tapak Christ the redeemer di rio de janeiro pada 12 september 2013 untuk mengharungi 149,576.78 kilometer - jarak 3 kali lebih mengelilingi bumi.

berukuran 36.8 cm tinggi dengan berat 6.18 kg piala ini diperbuat daripada emas 18 karat, dihiasi permata 'malachite' pada bahagian tapaknya. nama setiap pemenang piala dunia fifa sejak 1974 juga terukir di bawah trofi tersebut.

bekas pemain sensasi manchester united, dwight yorke, yang merupakan duta fifa yang pernah dianggap sebagai pemain pertahanan tengah terbaik akan mempersembahkan trofi itu di kuala lumpur.

selain pernah mengambil bahagian dalam kelayakan tahun 1990, 1994, 1998, 2002 dan 2006, yorke juga pernah menjadi kapten pasukan trinidad dan tobago dalam fifa world cup tahun 2006.

Bagi peminat-peminat bola sepak tanahair, boleh saksikan piala tersebut secara dekat pada hari ahad ini (5 januari) di pwtc bermula jam 10 pagi hingga 10 malam dalam majlis fifa world cup trophy tour by coca-cola sambil mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti menarik termasuk bermain bola sepak.

yang paling best tentunya - MENGAMBIL GAMBAR BERSAMA TROFI FIFA WORLD CUP YANG ASLI..

jelajah seterusnya adalah isnin depan di indonesia...

aku? cukup la kot... dah tengok tadi... dan dah rasa bagaimana sesaknya kepala.. ekekeke


 
ketibaan piala dengan pesawat khas coca-cola


 
dwight yorke, duta fifa turut hadir 


 
nak letak piala pun kene selubung


 

 
piala idaman pasukan bola sepak seluruh dunia


 
krew rtm


 
 wartawan utusan, hafiz ahmad turut mengambil peluang bergambar

Wednesday, January 1, 2014

Selamat Tahun Baharu Masihi 2014


assalamualaikum

bertemu kita kembali... hahaha macam biasa... macam coklat.. kejap timbul kejap tenggelam... btw sempena tahun baru 2014 ni aku nak ucapkan selamat menyambut tahun baru masihi 2014 kepada semua pembaca... semoga kita semua sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan Allah swt dan sentiasa dilimpahi rezeki berlipat ganda dalam menempuhi kelangsungan hidup, cabaran hidup, onak dan duri dan bermacam-macam lagi sebagai rakyat Malaysia yang dicintai... sementelah dalam mengharungi segala macam perkara yang dah naik dan yang dijangka akan naik lagi...

dan macam biasa... aku tetap di rumah... aku tetap aku... dan port bunga api aku ialah macam biasa dari tingkap bilik tidur... jadila dapat tgk skit-skit ambik gamba skit-skit... gambar pun goyang sbb x de shutter remote...

actually aku x tahu nak kategorikan apa yg berlaku di dataran merdeka sempena tahun baru 2014 ni.. dalam x setuju ada setuju dalam setuju ada x setuju... tapi memanglah buat pertama kali dalam sejarah... lepas bunga api tiada konsert... pentas 'ditawan' oleh sekelompok rakyat... bazir katanya... mungkin ada benarnya... dikala keadaan semasa yg tidak diredhai yg mendesak perbuatan itu...

tetapi aku ada juga tidak bersetuju dengan perbuatan itu... lebih2 lagi ada mak bapak bawak anak tengok bunga api.. bukankah telah mencetus kegusaran, kebimbangan dan ketakutan...

tapi... APA PILIHAN MEREKA? apabila terpaksa mengharungi satu lagi keperitan hidup terutama di kota metropolitan ini yang aku boleh ibaratkan merempat ditempat sendiri... 

entah la... yg penting aku akan tetap meneruskan agenda, perancangan dan strategi hidup aku dalam menghadapi kehidupan mendatang agar dapat terus menyelesakan keluarga aku dan membantu sesiapa sahaja mengikut daya aku... semoga kita semua terus sukses dan Malaysia terus aman walau perit untuk ditelan!

p/s: baharu atau baru? aarrgghh peninggg....

Thursday, August 22, 2013

SEPETANG DI MEDIA PRIMA





semua rasanya dah sedia maklum, isnin lalu rombongan dari Persatuan Bolasepak Malaysia FAM mengadakan kunjungan hormat ke media prima berhad di Sri Pentas, kumpulan media integrasi terbesar di Malaysia. Diketuai oleh datuk seri Subahan Kamal sebagai pengerusi jawatankuasa media dan perhubungan awam FAM, rombongan turut disertai oleh setiausaha agung, datuk hamidin mohd amin selaku wakil pentadbiran dan 2 exco FAM iaitu datuk astaman aziz dan datuk osman salleh. turut hadir 3 kakitangan FAM dan 2 ahli j/k media FAM.

kunjungan bukan sahaja untuk mengukuhkan lagi hubungan antara FAM dan rakan media terutama media prima, tetapi juga saya kira untuk mendapatkan gambaran jelas perjalanan kedua-dua organisasi selain mewujudkan hubungan 2 hala bagi terus meningkatkan promosi dan publisiti bola sepak tanahair.

cuma agak menghairankan, sehari selepas itu apabila keluarnya berita mengenai pertemuan tersebut, sudah ada rakan-rakan media yang melompat seolah-olah kurang menyenangi lawatan itu, terutama rakan-rakan pesaing. walhal kebanyakan dari mereka tidak lah mengetahui kisah sebenar disebaliknya.

sebenarnya perancangan mengenai lawatan dan kunjungan ini bukan sahaja ke media prima, tetapi juga ke organisasi-organisasi media perdana terutama yang banyak melibatkan bola sepak. sudah ada senarai menunggu di mana tempat yang bakal dituju seterusnya.

dan saya sebagai org bawahan ini berpendapat janganlah kita terus meletakkan keputusan tanpa mengetahui sebabnya, pendek kata meletakkan cabang pemikiran kita kepada satu arah sahaja, terutama apabila melibatkan hak hak eksklusif siaran.

 

benar juga kata datuk seri subahan dalam bilik tu... apabila bola sepak malaysia menempuhi zaman hitam, sorang pun tak nak ambil kisah, tetapi apabila bola sepak mula bangkit bermula di sukan sea 2009 dan piala aff 2010, semua berebut-rebut (lebih kurang ayat begitu)... benar juga kata beliau, terutama apabila melibatkan perkara yang bersifat 'KEUNTUNGAN' (ini kata saya).

tetapi beliau tetap ambil positif dengan banyak melahirkan penghargaan kepada semua media di malaysia yang banyak memainkan peranan bersama-sama menaikkan mutu bola sepak negara melalui publisiti. pun begitu berlaku juga sedikit kontra pendapat terutama apabila melibatkan kritikan terhadap bola sepak malaysia.

perkara itu juga pantas dibidas oleh wakil media prima terutama pengarang kumpulan harian metro Datuk mustapa omar yang terang mengatakan FAM / bola sepak malaysia terlalu manja, tidak boleh dikritik. diakui oleh pengarang urusan kumpulan nstp datuk abd jalil hamid dan beberapa editor berita yang menjelaskan ia sememangnya norma penulisan berita. walaupun ia diterima dengan hati terbuka namun datuk seri subahan berharap ada sedikit sempadan terutama apabila melibatkan reaksi profesional yang tiada kene mengena dengan bola sepak ataupun bekas-bekas pemain negara yang tidak memberi sumbangan tertinggi kepada negara. bagi saya? mereka juga adalah penonton dan peminat. seperti juga penyokong tegar, kuasa mereka sukar diatasi. yang penting penerimaan kita... setidak-tidaknya itu menandakan masih ramai yang mengambil berat isu bola sepak negara.. tak mengapa, andaikan sahaja mereka itu sebahagian dari penyokong yang cintakan bola sepak malaysia. ambil yang baik, buang yang buruk.

tetapi apa yang paling saya 'salute' ialah apa yang kumpulan media prima awal-awal sediakan sebaik sahaja rombongan FAM ini tiba. diketuai oleh 'oldman' datuk johan jaafar selaku pengerusi media prima, dia di kelilingi oleh anak-anak muda (ada yang bergelar datuk) bertaraf CEO, MD dan pengurusan tertinggi yang mempunyai misi jauh dihadapan... this is truely business method mereka yang memang impress... dengan persembahan kertas kerja, termasuk rekod-rekod rancangan yang dicapai, diperkuatkan dengan rating, saya kira tidak mustahil datuk hamidin tanpa ragu-ragu menyatakan persetujuan untuk mengadakan kerjasama lanjut dengan media prima.

 

bayangkan disebelah datuk johan ialah pengarah urusan kumpulan media prima datuk amrin awaluddin, diikuti oleh ahmad izham omar, ketua pegawai eksekutif television networks dan primeworks studios sdn bhd, datuk kamal khalid, ketua pegawai operasi, group shared services media prima berhad, seelan paul, ketua pegawai eksekutif radio networks / ketua pegawai strategi television networks termasuklah datuk jalil dari nstp, datuk mustapa dari harian metro dan pengurusan tertinggi lain. tidak ketinggalan bos sukan tv3, abu bakar atan dan editor sukan berita tv3 abdullah sani.

walaupun begitu bukanlah bermakna datuk hamidin bertindak melulu dalam membuat keputusan. setakat ini bagi saya dia bijak mengambil kesempatan mengikut keadaan. menggunakan pendekatan politik saya kira datuk hamidin 'pandai bawa diri'. menurutnya masih ada ruang untuk media-media lain membuat liputan atau siaran... senang cerita hak siaran langsung perlawanan bola sepak lah... yang ni bukanlah kepakaran saya untuk mengulas panjang.. tetapi mungkin ada klausa-klausa atau perjanjian-perjanjian tertentu yang membenarkan. yang tahu hanya pihak yang berunding.

saya turut respek perjuangan yang dibawa oleh kumpulan media prima ini bukan sahaja untuk mereka tetapi juga saluran tv percuma lain terutama rakan pesaing iaitu RTM. bagi saya tidak mengapalah sekali sekala berkongsi sesama saluran tv Malaysia. yang penting semua dapat keuntungan.

paling saya terkaku seketika apa yang telah dan akan dirancang sekiranya mereka turut sama dapat mengambil bahagian dalam kancah bola sepak malaysia ini. sedikit sebanyak saya sudah dapat bayangkan kehangatan dan kerancakan yang mereka akan bawa nanti, walaupun mungkin hanya satu siaran perlawanan seminggu. saya rasa ini antara business method yang boleh memberi keuntungan besar. tambahan mereka sudah ada jutaan pengikut yang setia dari tv hingga radio termasuk akhbar-akhbar tempatan.

 

cuma yang penting sekarang rakan pesaing sudah perlu memikirkan kaedah-kaedah terbaik untuk turut sama menambat pengurusan FAM agar bukan sahaja dapat turut sama memajukan bola sepak malaysia ini, tetapi paling penting tidak melepaskan lubuk-lubuk emas yang sedia diperolehi ini. kerana bola sepak lah bagi saya satu-satunya ibu sukan malaysia yang bukan sahaja memeriahkan, malahan menyatukan rakyat, membangunkan negara dan yang utamanya memberi keuntungan berlipat ganda.

bagi saya biarlah kita bersaing secara sihat. bukan itu sahaja, dalam kita rancak bersaing siapa lebih hebat, berikan sedikit ruang untuk pihak-pihak lain turut bersama berkongsi dalam sama-sama membantu menaikkan mutu bola sepak malaysia melalui publisiti dan promosi. tidak rugi sebenarnya kerana yang menentukan bukanlah apa yang kita bakal paparkan nanti, tetapi lebih kepada perkara sampingan atau perancangan lain yang boleh membangkitkan semangat penyokong dalam menuju kepada apa yang bakal dipaparkan nanti..

saya amat bersyukur kerana berpeluang menjerumuskan diri dalam 3 saluran yang terlibat dalam sukan ini sejak 13 tahun lalu...

 

faisal jamal
ahli j/k media dan perhubungan awam FAM 2010-2014


Wednesday, August 7, 2013

SALAM LEBARAN 2013

  

assalamualaikum wbt..

ramadhan sampai ke penghujung... eidulfitri menjelma...

dikesempatan ini aku ingin mengucapkan salam lebaran kepada semua rakyat jelata yang mengenali... mohon maaf atas sebarang kesilapan dan kekhilafan sepanjang menjadi insan di bumi Allah ini...

semoga kita semua beroleh keberkatan dariNya... InsyaAllah semoga di ketemukan lagi pada ramadhan akan datang...

FJ

Sunday, August 4, 2013

RAMADHAN - MISI KEMANUSIAAN SAHUR

haaa.... macam biasa kejap ada kejap x de... mcm ni lah blog suam-suam kuku aku ni... so kalau korang tgk takde apa-apa update tu... anggap je la aku ni malas... kalau ada kira rajin lah...

baiklah... first sekali tentunya salam ramadhan kepada semua... walaupun ramadhan tinggal kurang 5 hari je lagi...

ok.. apa yg aku nak ceritakan ni ialah pengalaman pertamalah... menyertai kumpulan bermotosikal skuter ni, walaupun dah 3/4 bulan pakai skuter.

semalam (malam minggu) satu misi memberi bantuan makanan kepada gelandangan telah diadakan. aku pun x tahu nak sebut nama khas dia sbb x de... so anggap je memberi makan atau misi bantuan kemanusiaan di kuala lumpur ni...

aku percaya ia dianjurkan oleh kelab2 skuter kuala lumpur dgn majoritinya pemilik motorsikal SYM. turut serta brader 3 moto honda CBX yg betindak sebagai marshall selain 3 anggota RELA. dan aku percaya walaupun ramai otai program ini tetapi fahaman aku ia bertitik tolak dari idea anak muda bernama muhammad aqib.. salute to u bro!

bermula pukul 12.30 agihan bungkusan makanan diadakan sekitar kuala lumpur dengan mengambil kira tumpuan gelandangan ini melabuhkan mata mereka seperti di pudu raya dan jalan TAR.

kira-kira 180 bungkusan berjaya diedarkan dengan kesemuanya selesai hampir 3 pagi. apa yg paling membanggakan ialah bukan sahaja kumpulan kami, malahan kami juga terserempak dengan banyak kumpulan yang mengadakan aktiviti-aktiviti seperti kami ini. alhamdulillah semakin ramai rakyat Malaysia tanpa mengira kaum yang mula mengambil berat dan bersimpati kepada golongan ini... semoga kita semua beroleh keberkatan dari Allah swt..

dan terima kasih juga kepada brader-brader motor yang berpengalaman berbanding aku ni yang hanya seorang rookie aka lone rider... semoga dapat lagi menyertai aktiviti-aktiviti lain masa hadapan.

nah gambar sepukol dari lensa amatur cap ayam (aku ler)...















Sunday, May 12, 2013

SOALAN 1 : ARTIKEL / RENCANA - DASAR SUKAN NEGARA



Dasar Sukan Negara (DSN) telah menggariskan dua peranan utama Institut Pengajian Tinggi (IPT) iaitu untuk menggalakkan pelajar mengambil bahagian dalam aktiviti sukan secara aktif dan menyediakan peluang belajar kepada atlet sukan di Universiti. Kedua-dua peranan ini bertanggungjawab memberi garis panduan dalam usaha penyelarasan keseimbangan dan kesinambungan prestasi akademik dan pencapaian dalam bidang sukan di IPT. Ramai yang berpendapat bahawa kecemerlangan sukan akan berkubur sebaik sahaja pelajar-pelajar menjejakkan kaki ke Institusi Pengajian Tinggi. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku jika langkah-langkah pendekatan yang betul dilakukan.

Bagi tujuan ini Kementerian Pengajian Tinggi akan memainkan peranan secara khusus dalam memastikan pelajar IPT yang bergiat dalam sukan dijaga kebajikannya dan dapat terus bergerak secara aktif tanpa mengabaikan pembangunan akademik pelajar. IPT yang merangkumi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik dan Kolej Komuniti akan bekerjasama secara bersepadu dengan Majlis-majlis Sukan IPT iaitu Majlis Sukan Universiti-Universiti Malaysia (MASUM), Majlis Sukan IPTS Malaysia (MASISWA), Majlis Sukan Politeknik (MSP) dan Majlis Sukan Kolej Komuniti (MASKOM) untuk memastikan program-program pembudayaan sukan di IPT berjalan lancar seperti mana dirancang.

Perkara ini selaras dengan DSN yang dibentuk supaya semua pihak termasuk IPT dapat merancang, melaksana, membangun dan membudayakan sukan di IPT serta meneruskan program pembangunan sukan. Seterusnya menyediakan program sukan yang mencukupi, melatih dan melahirkan pakar-pakar sains sukan serta mengadakan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, swasta, persatuan sukan dan badan-badan sukan universiti antarabangsa. DPSIPT pula diwujudkan bagi merealisasikan hasrat Kerajaan untuk terus membangunkan sukan di IPT berdasarkan semangat DSN untuk memberi ruang kepada IPT untuk berada di persada utama dalam gerakan pembangunan sukan negara.

Sukan adalah penting di peringkat IPT kerana dapat melahirkan generasi profesional baru yang dapat memberi sumbangan besar kepada pembangunan sahsiah negara, melahirkan generasi yang berfikiran matang dan mempunyai asas pendidikan yang cemerlang serta daya tahan fizikal dan mental yang kuat.


Menyedari kepentingan sukan di kalangan warga IPT, satu dasar yang khusus perlu diadakan dan matlamat Dasar Pembangunan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (DPSIPT) ialah untuk menjadikan IPT sebagai pemangkin kepada kecemerlangan sukan negara serta mewujudkan budaya bersukan di IPT ke arah memperkasakan modal insan yang seimbang dan berkualiti dari segi akademik dan sukan. Seterusnya dapat melahirkan "The Thinking Athletes" atau Atlet Intelek di kalangan ahli-ahli sukan pelajar dengan mensasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus atlet negara terdiri daripada atlet IPT. Bagi memastikan agenda-agenda sukan di IPT berjalan lancar, Kementerian Pengajian Tinggi telah mewujudkan bahagian dan unit yang bertanggungjawab terhadap sukan. Organisasi sukan di peringkat Kementerian Pengajian Tinggi adalah:

1. Bahagian Sukan KPT
-yang bertanggungjawab merangka dan melaksana dasar sukan Kementerian, merancang pembangunan prasarana sukan, pengurusan sukan prestasi tinggi, sukan teras dan sukan massa. Bahagian ini juga bertanggungjawab menguruskan biasiswa sukan.

2. Unit Sukan, Jabatan Pengajian Tinggi
-menjadi organisasi penyelaras pelaksanaan program sukan di peringkat IPTA dan IPTS.

3. Unit Sukan, Jabatan Pengajian Politeknik
-menjadi organisasi penyelaras pelaksanaan program sukan di peringkat Politeknik.

4. Unit Sukan, Jabatan Pengajian Kolej Komuniti
-menjadi organisasi penyelaras pelaksanaan program sukan di peringkat Kolej Komuniti.


Sementara itu "The Thinking Athletes" iaitu atlet Intelek yang berwawasan adalah satu generasi baru yang mahu dibentuk bagi melahirkan satu generasi yang mempunyai kebolehan dalam bidang sukan dan mempunyai ciri-ciri keperibadian yang tinggi. Tujuan "The Thinking Athletes" adalah untuk mewujudkan satu fenomena bahawa sukan itu boleh dijadikan sebagai kerjaya yang mampu menjamin masa depan dan akan mengikis tanggapan bahawa IPT adalah kubur atlet untuk terus aktif bersukan. "The Thinking Athletes" juga bermaksud keupayaan atlet menggunakan ilmu pengetahuan yang diperolehi semasa di IPT untuk membantu meningkatkan pencapaian sukan yang diceburi ke tahap tertinggi dan kebolehpasaran yang terserlah apabila memasuki pasaran kerjaya. Objektif konsep ini adalah bertujuan:

- membentuk atlet yang sentiasa berusaha meningkatkan pencapaian, menggunakan aspek kognitif (keupayaan berfikir), mampu menganalisa, kreatif dan membuat perancangan sendiri.

- meningkatkan pencapaian sukan negara apabila ramai yang sentiasa mempunyai motivasi untuk lebih berjaya.

- menjadikan sukan sebagai kerjaya yang mampu menjamin masa depan dan atlet lepasan IPT akan lebih diberi perhatian oleh majikan apabila memasuki pasaran kerjaya.

Untuk tujuan itu golongan sasaran adalah merupakan atlet pelajar. Ini kerana atlet pelajar lebih mudah untuk diterapkan dengan konsep ini kerana mereka merupakan kelompok pelajar yang mempunyai bakat dan potensi sukan dan kelayakan akademik yang baik. Ini kerana mereka mempunyai asas yang baik dalam proses pembelajaran daripada atlet pelajar yang lebih banyak menumpukan sukan yang diceburi dan pelajar lebih matang dari segi pembahagian masa dan dalam membuat keputusan. IPT perlu menggilap atlet berpotensi besar, tenaga pengajar dan kakitangan di IPT, tetapi lebih memberikan tumpuan kepada para pelajar dan atlet.

Kekuatan fizikal dan mental perlulah diseimbangkan bagi melahirkan atlet pelajar untuk berjaya dalam bidang masing-masing. "The Thinking Athletes" akan membantu dan membimbing atlet pelajar dalam membentuk kekuatan diri, semangat juang dan dalam membuat pelan perancangan yang strategik.

Konsep ini akan mula dipraktikkan pada pelajar semasa mereka berada di IPT, tetapi digunakan segala ilmu itu sepanjang masa. IPT akan memainkan peranan yang penting dalam memupuk dan memberi pendedahan berterusan kepada atlet mengenai kepentingan aspek "The Thinking Athletes" yang berguna untuk masa depan mereka. Dengan adanya kerjasama daripada Kementerian Pelajaran, Kementerian Belia dan Sukan, Kementierian Pengajian Tinggi, IPT-IPT, Majlis-majlis Sukan di IPT, Majlis Sukan Negara (MSN), Institu Sukan Negara (ISN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) konsep ini dapat dijalankan dengan berkesan.

Selain itu beberapa seminar, bengkel dan latihan akan diadakn bagi meningkatkan lagi kemahiran atlet pelajar. Mereka akan dilatih dan diajar di bidang yang digemari untuk digunakan apabila menempuh alam pekerjaan. Di dalam sukan amat luas pekerjaan yang ada seperti dalam bidang sains sukan, pengurusan sukan, kejurulatihan, pegawai sukan, penyelidik sukan, pakar fisioterapi, penganalisa sukan dan pakar dietetik. Tujuan "The Thinking Athletes" adalah untuk menghasilkan satu golongan ataupun generasi baru yang mahir dalam bidang sukan yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa dan dapat membantu menaikkan imej sukan negara.

Dengan pelaksanaan aspek-aspek yang dinyatakan diatas, objektif "the Thinking Athletes" iaitu untuk mewujudkan nilai kebolehpasaran yang tinggi bagi atlet-atlet IPT di pasaran domestik dan anatarabangsa serta menepati sasaran dan unjuran bagi mencapai 30 peratus atlet kebangsaan yang mewakili negara terdiri daripada pelajar-pelajar IPT akan tercapai.

Bagi merealisasikan matlamat DPSIPT, Kementerian Pengajian Tinggi telah merangka 7 program teras utama yang akan diberi tumpuan dalam usaha memartabatkan sukan di IPT ke tahap yang lebih tinggi dengan melahirkan "The Thinking Athletes" iaitu:

1. Program Pembudayaan Sukan
2. Program Pembangunan Infrastruktur Sukan
3. Program Pembangunan Pusat Kecemerlangan Sukan
4. Skim Kecemerlangan/Kebajikan, Insentif dan Penyelidikan Sukan (SKIPS)
5. Program Pembangunan Akdemik Atlet
6. Program Pembangunan Pengajian Sukan di IPT
7. Program Promosi dan Jaringan Kerja

Kesimpulannya DPSIPT bukan sahaja bertujuan melahirkan atlet untuk IPT dan negara bahkan menjadikan pembangunan sukan dan akademik di IPT sebagai penjana dalam melahirkan modal insan dan profesion atau produk "The Thinking Athletes" yang mempunyai nilai pasaran serta dapat dikomersilkan di dalam negara dan antarabangsa. Dengan adanya DPSIPT, segala tanggapan umum bahawa IPT sebagai kubur kepada atlet dapat ditepis dan DPSIPT dapat menjaga kebajikan dan mengembangkan lagi bakat atlet IPT hingga dapat melahirkan "The Thinking Athletes" yang membanggakan.

Perancangan yang jitu dan implementasi yang tepat mampu memberikan impak yang mendalam dan berkesan dalam meyakinkan pelbagai pihak bahawa sukan mampu dan terbukti telah melahirkan atlet-atlet serta warganegara yang berupaya memacu Malaysia ke arah sebuah negara yang cemerlang dan gemilang dan matlamat mensasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus atlet negara datang dari atlet pelajar dapat direalisasikan.


SOALAN 2 : PENGEMBARAAN DALAM NEGARA - LANGKAWI



Semua orang pastinya ingin menikmati saat-saat berseronok dengan mengembara di mana-mana tempat yang diminati. Bukan sahaja ia meluaskan pandangan, tetapi juga sedikit sebanyak mengajar kita menghargai setiap inci bentuk kurniaan Tuhan di atas muka bumi ini. Sebagai seorang yang suka mengembara atau melancong, saya turut terpanggil untuk berkongsi sedikit catatan yang mungkin boleh dijadikan panduan buat rakan-rakan atau pembaca yang ingin ke tempat sama. Lokasi yang saya maksudkan ialah PULAU LANGKAWI.

Mungkin kedengaran agak sudah menjadi kebiasaan kerana siapa yang tidak pernah ke Pulau Langkawi bukan. Boleh kata majoriti rakyat Malaysia pernah menjejakkan kaki ke pulau yang penuh dengan legenda dan mitos selain dikenali dengan Pulau yang mempunyai kepelbagaian keseronokan dan keterujaan membeli belah kerana bebas cukai.

Untuk tiba di Langkawi terdapat 2 pintu masuk, iaitu di Kuah jika menaiki feri dan juga di Lapangan Terbang Antarabangsa, Padang Matsirat melalui jalan udara. Tetapi apa yang saya ingin kongsikan ialah jika kita memandu dan menaiki feri. Ada baiknya kita rancang perjalanan kita dengan teratur supaya kita tidak kerugian masa dan kos perbelanjaan disamping dapat memenuhi kepuasan percutian.

Jika kita menggunakan jalan darat cadangan saya ada baiknya kita menaiki feri di Kuala Perlis, Perlis kerana selain mempunyai kawasan parkir yang banyak, persekitaran sekeliling juga selesa. Walaupun Pulau Pinang dan Kedah turut mempunyai feri ke Pulau Langkawi tetapi bagi saya lebih selesa jika kita menaiki feri di Kuala Perlis.


Setibanya di Jeti Kuah di Pulau Langkawi perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mencari kenderaan sewa, sama ada motorsikal atau kereta. Ini kerana ia dapat menjimatkan perbelanjaan membayar teksi atau kereta sewa yang agak tinggi selain kita boleh bergerak ke mana-mana di sekitar pulau dengan mudah. Kadar bayaran sewa kereta contohnya kebiasaan dalam harga 60 ringgit semalam.

Seterusnya kita perlu mencari tempat penginapan. Jika kita telah membuat tempahan lebih awal itu lebih mudah tetapi sebenarnya tidak sukar mencari penginapan di Pulau Langkawi kerana terlalu banyak hotel dan chalet di tempat-tempat tumpuan di Pulau Langkawi. Jika anda lebih gemarkan percutian dibandar sambil membeli belah, Kuah lah tempatnya. Jika anda gemarkan pantai yang cantik dan indah, ada banyak pantai-pantai boleh dipilih. Juga percutian ala kampung turut boleh dicari di Pulau Langkawi.

Bagi saya Pantai Chenang menjadi pilihan kerana jelas ianya boleh menenangkan fikiran, walaupun sibuk dengan pelancong. Pelancong antarabangsa turut menjadikan Pantai Chenang sebagai tumpuan untuk berehat dan bersantai. Sepanjang Pantai Chenang lebih dari 20 resort dan chalet boleh dipilih. Bukan itu sahaja, Pantai Chenang juga terdapat akuarium besar iaitu Waterworld Langkawi. Untuk ke Pantai Chenang dari Kuah mengambil masa kira-kira 45 minit memandu. Pantai Chenang terletak di mukim kedawang.

Selesai mendapatkan penginapan, kita sudah boleh merancang hala tuju di Langkawi. Kita boleh pilih penginapan mengikut kemampuan. Saya kebiasaannya mencari chalet yang berharga tidak lebih 150 ringgit semalam kerana apa yang lebih menjadi kepuasan saya ialah keseronokan bercuti. Selesai mendapat penginapan sekitar tengahari saya akan memulakan pemanduan sekitar pulau. Oleh kerana saya lebih suka kepada pengembaraan yang lebih santai, mencabar dan lain dari yang lain, maka kawasan-kawasan mitos dan legenda bukan menjadi tumpuan saya.

Tempat pertama menjadi tujuan saya ialah ke kawasan pelancongan agak moden iaitu kereta kabel. Ia terletak berhampiran Teluk Burau di puncak Gunung Matcincang. Untuk tiba ke sana mengambil masa kira-kira 40 minit memandu melalui bukit-bukit tepi pantai.

Tetapi sebelum tiba di sana ada baiknya singgah dahulu di Padang Matsirat kerana disitu terdapat kawasan Beras Terbakar, Antara mitos dan Legenda yang terdapat di Langkawi. Sebenarnya tiada apa yang lebih menarik di Beras Terbakar. Apa yang ada hanyalah sebuah rumah penjaga kawasan beras terbakar itu. Tetapi elok juga jika melawat di sana sebagai menambah pengetahuan apa yang ada di Langkawi. Beras Terbakar terletak di Kampung Raja, Padang Matsirat.


Selesai singgah di Beras Terbakar, perjalanan diteruskan ke Gunung Matcincang untuk menaiki kereta kabel. Untuk ke sana sekali lagi kita akan melalui Teluk Burau atau dengan nama baru Teluk Baru. Di sini kita boleh melihat kapal-kapal mewah berlabuh sambil melihat keindahan sekitarnya dan pantai-pantai. Boleh juga mengambil gambar jika mahu.

Ok seterusnya kita akan ke Kereta Kabel Langkawi. untuk menaiki kereta kabel Langkawi tiket berharga 15 ringgit untuk pemegang kad pengenalan Malaysia manakala 20 ringgit warga asing. Tiba di atas puncak Gunung Matcincang kita boleh melihat keseluruhan Pulau Langkawi. Betapa indahnya ciptaan Tuhan yang menjadikan Pulau Langkawi tumpuan pelancong dunia. Jangan lupa kita juga boleh menguji keberanian di Gunung Matcincang kerana terdapat jambatan gantung di atas puncak itu. Kita boleh duduk di atas gunung tersebut selama mana mengikut kepuasan sendiri.


Puas sahaja di atas tiba masa untuk kembali ke tempat penginapan dan merancang kawasan tumpuan lain keesokannya. Kita boleh singgah di Air Terjun Telaga Tujuh di sebelah kawasan kereta kabel, satu lagi kawasan legenda dan mitos Langkawi. Mengikut cerita masyarakat sekitar ia merupakan rangkaian air terjun mengalir ke tujuh telaga semula jadi. Curahan dari telaga pertama terjadi sebatang sungai kecil dan menerusi ke telaga yang lain. Berdasarkan cerita rakyat, ini adalah tempat permainan bidadari dan syaitan.

Rancangan keesokannya ialah mengembara ke pulau-pulau berhampiran. Walaupun di Pulau Langkawi terdapat kira-kira 99 pulau-pulau kecil, namun hanya beberapa pulau sahaja menjadi tumpuan pelancong. Dari Pantai Chenang kita boleh memilih pakej sedia ada dengan menaiki bot. Harga adalah sekitar 25 ringgit ke 35 ringgit seorang. Pakej ialah dengan menjelajah 3 pulau iaitu Pulau Dayang Bunting, Pulau Singa Besar dan Pulau Beras Basah.

Pulau Dayang Bunting adalah unik kerana didalamnya ada tasik. Walaupun airnya bersambung dengan laut tetapi tidak masin. Pulau singa Besar adalah pulau yang tidak diusik dan kita akan melalui sekitar pulau tersebut sambil memberi makan kepada burung helang. Manakala pulau beras basah amat cantik dengan pasir yang putih dan kita boleh mandi manda di situ. Kebiasaannya kita akan berada seharian di 3 pulau tersebut.

Pulang pada hari ketiga singgah dahulu di pekan Kuah membeli belah di sana. Periuk, pinggan mangkuk amat murah sekali. Tidak sah rasanya jika tidak pulang dengan membawa pinggan mangkuk. Bermacam pilihan coklat juga boleh dibeli dengan harga murah selain minyak-minyak dari gamat untuk tujuan pengubatan tradisional.



Banyak lagi tempat yang boleh dilawati di Pulau Langkawi. 3 hari 2 malam tidak puas rasanya kerana terdapat banyak kawasan boleh dilawati terutama kawasan Geopark yang telah pun diiktiraf ke 49 dunia dan pertama di Asia Tenggara oleh UNESCO.

Pulau Langkawi bagi pendapat saya merupakan pulau peranginan merangkumi keseluruhan kehidupan iaitu dari sejarah, legenda, mitos, hiburan dan juga sains dan teknologi. Sekali pergi tidak memadai. Harus ke sana berkali-kali baru puas hati...




SOALAN 3 : MEMORI DI SEKOLAH


Setiap orang pastinya mempunyai memori di sekolah yang akan sentiasa diingati sampai bila-bila. Ianya lebih kepada pengalaman hidup mengajar erti kedewasaan.

Saya juga turut mempunyai memori di sekolah akan akan terus terpahat dalam ingatan. Memori tersebut ialah bermain  'BOLA KETAM'. Mungkin ada yang tidak pernah mendengar apa itu permainan bola ketam. Dan saya rasa mungkin sekolah saya sahaja yang mengamalkan permainan ini.

Bersekolah di kota Metropolitan Kuala Lumpur tidak bermakna kita harus asyik mengikuti peredaran zaman. Perlu juga mengekalkan tradisi supaya ianya kekal dalam ingatan pelajar. Itulah sekolah saya Sekolah Menengah Seri Ampang, Kuala Lumpur. Bermula dengan nama Ampang Road Boys School pada tahun 1963 sehingga ditukar nama kepada Sekolah Menengah Seri Ampang pada tahun 1989 sehingga kini, nostalgia permainan bola ketam tetap terpahat dalam ingatan pelajar sehingga kini.

Bermain bola ketam selalunya pada waktu pendidikan jasmani. Setiap kali waktu tersebut jika tiada pelajaran dalam kelas, guru PJK berbangsa Cina kami akan arahkan pelajar ke gymnasium. Gymnasium pada waktu itu lebih kepada dewan besar berlantaikan papan. Di tepi-tepinya ada palang untuk bergayut. Itulah konsep gymnasium zaman dahulu di sekolah.

Dengan hanya berbekalkan singlet atau t-shirt atau baju dalam, seluar sekolah dan kasut sekolah (kerana kami memang malas pakai pakaian sukan selain kebanyakan kami bukan orang senang), begitulah kami bermain bola ketam.

Bermain bola ketam sama macam sukan bola lain, iaitu berebut bola dan berusaha menjaringkan gol. Keluasan biasanya sebesar separuh dewan atau saiz gelanggang futsal. Cuma perbezaan ketaranya ialah kedudukan pemain atau postur badan pemain itu untuk bermain bola ketam.

Permainan bola ketam lebih kepada permainan santai. Tiada undang-undang, tiada peraturan. Yang ada cumalah peraturan kedudukan badan supaya ia dapat digelar bola ketam. Main bola ketam tak boleh berdiri, jauh sekali untuk berlari, yang penting harus bermain menggunakan kaki. Cuba bayangkan kalau kita mengikut kedudukan haiwan berkaki empat, kedua-dua tangan dan kaki di lantai. Tetapi lebih mencabar lagi ia harus di kedudukan terbalik atau kedudukan badan menghala ke atas. Itulah dia kedudukan jika bermain bola ketam.

Dengan kedudukan dan postur tersebutlah kita mengejar bola, menggunakan kekuatan tangan dan kaki untuk 'berlari' dan seperti biasa kaki digunakan untuk menyepak bola. Sebenarnya bermain bola ketam tidak semudah disangka. Ia mengundang keletihan yang cepat akibat menampung badan menggunakan tangan sambil mengejar bola. Tetapi keseronokan tidak tergambar apabila ia bukan sahaja kepada sasaran kemenangan, tetapi juga ikatan persahabatan apabila terlalu banyak kelucuan yang akan terjadi ketika bermain bola ketam.

Saya tidak pasti dari mana datangnya permainan ini tetapi itulah keunikan sekolah kami dan saya percaya di sekolah kami lah yang memulakan permainan itu dan saya juga percaya di sekolah kamilah satu-satunya yang bermain bola ketam. Sesuatu tinggalan yang pasti tidak akan dilupakan oleh sesiapa yang pernah menuntut di sekolah itu.

Keistimewaan itu jugalah yang merapatkan hubungan sesama pelajar dan bekas pelajar apabila bertemu di majlis-majlis 'reunion'. Saya percaya memori inilah yang akan terus mempopularkan Sekolah Menengah Seri Ampang sampai bila-bila. Saya percaya jika ianya terus dikekalkan tidak mustahil ia bakal menjadi pelopor sebahagian acara karnival yang menerbitkan kemeriahan, keseronokan selain kelucuan apabila bermain.

Kepada rakan-rakan AROBA... Salute!

Faisal Jamal
AROBA 1990-1994

SOALAN 4 : ULASAN / KOMEN "BR1M 2"



BR1M atau Bantuan Rakyat 1 Malaysia adalah bantuan kewangan yang disalurkan kerajaan kepada mereka yang layak. Kebiasaannya adalah mengikut pendapatan isi rumah.

Berbeza dengan BR1M peringkat awal, BR1M fasa kedua atau BR1M 2 memperluaskan lagi pemberian bantuan kepada rakyat Malaysia yang masih bujang. Bermakna bukan sahaja isi rumah (keluarga) yang layak boleh mendapat bantuan tersebut tetapi juga mereka yang masih bujang. Jumlah yang diberikan adalah RM500 (isi rumah) dan RM250 (bujang). Untuk BR1M kerajaan memperuntukkan kira-kira 3 billion ringgit.

Walaupun ia sedikit sebanyak mengurangkan beban rakyat, tetapi saya lebih memandang BR1M 2 sebagai bonus sahaja. Bermakna ia tidak banyak membantu mengurangkan beban mereka yang layak. Bermakna sekiranya dibayar sekali setahun, itulah bonus tahunan kepada mereka yang kurang berkemampuan dan layak menerimanya. Oleh itu ia tidak lebih sekadar sumbangan tahunan.


Pada pendapat saya BR1M 2 harus dilihat dalam konsep yang lebih luas. Ya, sememangnya ia membantu mengurangkan beban yang ditanggung 'pada ketika itu' maka konsep itu perlu diperluaskan supaya bantuan itu boleh diertikan sebagai 'mengurangkan beban yang ditanggung pada setiap masa'. Maksudnya disini atas dasar ingin memajukan negara kehidupan rakyat juga harus dibawa bersama kemajuan itu bukan meninggalkan ia di belakang. Mungkin cara terbaik pemberian BR1M boleh dikerapkan lagi mengikut perkiraan 3 bulan sekali (4 kali setahun) atau lebih menarik jika diberikan dalam kekerapan 2 bulan sekali (6 kali setahun). Bermakna kerajaan hanya perlu mengeluarkan peruntukan kira-kira 12 billion ringgit ke 18 billion ringgit setahun sahaja jika hendak dibandingkan dengan kemajuan yang dikejar setiap tahun yang menelan berpuluh-puluh billion sedangkan kehidupan rakyat terus tertinggal di belakang.

Syarat-syarat pemberian juga perlulah diperketatkan dan diperhalusi sedalam-dalamnya. Bukan memilih secara rawak dan kurang ketelusan apabila mereka yang tidak layak turut menikmati pemberian ini sedangkan mereka yang layak pula adakalanya tiada dalam senarai penerima. Kita tidak harus semata-mata mengharapkan rakyat untuk membuat segala urusan sendiri kerana kebanyakan mereka yang layak semamangnya tidak tahu menggunakan teknologi mengisi borang dan ketinggalan dari arus permodenan. Kebiasaannya mereka yang tinggal di luar bandar dan tidak mendapat pendidikan yang sempurna dan teratur, hanya mengharapkan kepada kais pagi makan pagi. Jauh berbeza daripada mereka 'yang tidak layak turut mendapat bantuan' apabila golongan-golongan sebegini mudah mencari kesempatan atas kecerdikan yang dimiliki tanpa memikirkan soal kemanusiaan.


Bermakna peranan Wakil-wakil Rakyat, Ahli Jawatankuasa Kemajuan Kampung, Ketua-ketua kampung, Penghulu-penghulu, tok-tok sidang, pengerusi-pengerusi surau dan masjid, ketua-ketua agama kawasan, ahli-ahli keluarga waima jiran tetangga amat penting bagi memastikan tiada keciciran dalam jumlah penerima bantuan ini selain dapat mengenalpasti mereka yang benar-benar layak sahaja boleh menerima bantuan. Dalam konteks ini semua yang terlibat harus lebih mempunyai kejujuran dan integriti tanpa mengambil kira siapa yang memohon asalkan mereka itu layak. Dengan itu tidak akan timbul soal kroni, pilih kasih, pilih bulu, kejam dan zalim dari rakyat.

Bukan itu sahaja, cara pemberian BR1M 2 juga adalah terlalu jauh menyimpang dari hasrat sebenar. Penerima disuruh hadir ke dewan-dewan rakyat, beratur panjang semata-mata untuk mengambil nilai sebanyak 500 ringgit itu. Adakala sampai menunggu lebih sejam. Kalau bantuan bujang tidak mengapalah juga kerana penerimanya bujang dan majoriti sihat. Tetapi tidakkah kita berfikir penerima bantuan isi rumah itu? yang kebanyakkannya warga-warga tua, yang uzur, orang-orang kurang upaya, mereka yang miskin yang tiada kenderaan untuk bergerak. Bukanlah lebih mulia jika wakil-wakil rakyat atau kakitangan yang ingin memberikan bantuan atau ditugaskan memberi bantuan ini dapat berkunjung ke rumah-rumah golongan ini. Kerana ia jelas akan mengurangkan segala beban untuk bergerak ke pusat pemberian bantuan ini. Bukan itu sahaja setidak-tidaknya wakil rakyat atau mereka yang bertugas dapat menyelami sendiri penderitaan yang ditanggung apabila berkunjung ke rumah penerima dan lebih membuka mata untuk terus memberikan bantuan dari sudut lain pula. Memang ia nampak seperti mengambil masa lama untuk pergi ke sesebuah rumah tetapi bukankah boleh melantik sukarelawan atau kakitangan sementara yang boleh menjalankan tugas itu. Asalkan orang itu mempunyai integriti dan kejujuran. Jika ianya nampak sukar juga, bukankah boleh bank-in ke dalam bank penerima? kerana sudah tentu penerima ada wakil yang boleh ke bank dan mengambil wang tersebut. Ini sekadar cadangan kerana apa yang penting ia memudahkan semua pihak bukan sekadar mengambil kesempatan untuk menunjuk-nunjuk pemberian itu ke dalam akhbar atau televisyen.


Kita mengharapkan agar pemberian BR1M lebih menjiwai rakyat, bukan sekadar melepas batuk ditangga, mengambil kesempatan meraih publisiti atau mencari populariti kerana apa yang penting ialah kebajikan rakyat terus terbela. Kerana jika nak diikutkan sememangnya bantuan ini tidak mencukupi. Tetapi langkah lain boleh dilaksanakan kerajaan untuk menyeimbangkan kehidupan rakyat dengan kos kehidupan yang semakin tinggi. Setidak-tidaknya rakyat tidak tercicir dalam mengejar arus kemodenan dan kemajuan negara selain dapat mengatur kehidupan dengan lebih sempurna tanpa bebanan yang tinggi.