Mungkin ianya rezeki ramadhan, atau mungkin tuah, tetapi saat-saat kecoh dialami persatuan bola sepak kuala lumpur klfa mengenai isu pemain dan pegawai tidak dibayar gaji selama 3 bulan baru-baru ini tampak ada sinar tidak lama lagi.
Ini kerana mengikut sumber terdekat saya, pengurusan klfa akan mengadakan pertemuan dengan datuk bandar kuala lumpur yang baru, datuk ahmad phesal talib awal minggu depan bagi menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi mereka. Dan dengarnya dbkl bersetuju untuk menampung tunggakan gaji pegawai dan pemain yang terlibat yang dikatakan dari mei hingga julai itu. Cuma menurut sumber tersebut perbincangan lanjut akan diadakan bagi memikirkan cara mana dbkl boleh membantu untuk menampung kos bagi musim akan datang.
Ini merupakan petanda positif. Setidak-tidaknya dapatlah mereka yang terlibat ini merasai syawal yang bakal tiba tidak lama lagi dengan lebih ceria. Selain itu klfa dapat mengelak dari disingkirkan terus menyertai liga malaysia musim depan apabila gaji pegawai dan pemain dibayar.
Dan saya cukup yakin klfa mungkin dapat mengelak dari masalah kewangan akan datang. Ini kerana selain mempunyai penaung yang juga menteri wilayah persekutuan dan kesejahteraan bandar, datuk bandar kl juga kabarnya cukup berminat dengan bola sepak. Dan sekiranya semuanya berjalan lancar kabarnya datuk bandar kl akan dilantik menjadi penasihat. Setidak-tidaknya banyaklah pengaruh untuk membawa dana masuk bagi melancarkan perjalanan persatuan terutama bagi mendapatkan pemain-pemain terbaik.
Agak malang rasanya apabila ibukota yang kaya dengan pembangunan pesat tetapi tiada dana untuk menampung pasukan bola sepak yang kita maklum mempunyai pengaruh besar dalam pemasaran. Jadi bila sudah terbentang peluang sebegini, pihak pengurusan rasanya perlu fikir bagaimana untuk menarik lebih banyak dana masuk dengan menggunakan sepenuhnya pengaruh seorang menteri wilayah dan seorang datuk bandar yang berkuasa penuh atas ibu kota ini.
Apapun kita nantikan keputusan itu minggu depan, disamping merisik-risik presiden klfa situasi semasa ini. Jika benar saya sebagai anak jati ibu kota sedikit sebanyak akan rasa lega dengan perkembangan positif ini.
No comments:
Post a Comment
your comments is valuable..