Sunday, January 5, 2014

SURAT TERBUKA KEPADA SEMUA YANG TERLIBAT


atas dasar semangat setiakawan, aku paste kan surat terbuka dari seorang sahabat wartawan sukan untuk paparan semua. sekadar mengajak kita menyelami, berfikir, mengkaji, dan mencari solusi...

DISKRIMINASI DAN PENGANIAYAAN BERTERUSAN KE ATAS PELUMBA DALAM ARENA BERBASIKAL MALAYSIA
oleh: Arnaz M.Khairul

Saudara-saudara,

Akhir-akhir ini arena berbasikal negara bergolak lagi di bawah kepimpinan presiden PErsekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Ybhg. Dato' Abu Samah Wahab, memuncak dengan kontroversi malam sebelum acara lebuhraya lepas beramai-ramai lelaki di Sukan Sea Myanmar di mana skuad berbasikal negara mengambil keputusan drastik untuk tidak turun beraksi dalam perlumbaan keesokan harinya kerana perasaan tidak puas hati terhadap pihak pengurusan di bawah En. Amrun Misnoh.
Hanya campurtangan oleh salah seorang dari panel kejurulatihan MSN Terengganu yang bersama rombongan dari negeri itu yang pergi ke Myanmar untuk menyaksikan perlumbaan tersebut dapat memujuk para pelumba untuk berubah fikiran. Perasaan marah begitu membuak hinggakan mereka hanya mahu berlumba jika Amrun tidak berada menguruskan mereka dalam perlumbaan.

Saya tidak mahu berlengah dan menceritakan semula insiden tersebut tetapi yang penting dan harus ditegaskan di sini adalah kes ini umpama sebuah bom jangka yang hanya menunggu masa untuk meletop akibat diskriminasi yang berterusan yang diamalkan oleh pihak PKBM dalam menjaga hal ehwal para pelumba baik dari akar umbi hingga keperingkat elit.

Insiden dari perspektif tindakan PKBM bukanlah suatu insiden yang isolated, tetapi permainan segelintir pemegang jawatan itu telah berlaku banyak kali. Segalanya bermula dari peringkat akar umbi dan bukan saja melibatkan kemarahan 6 orang pelumba kebangsaan di Myanmar itu. PKBM, samada mereka sedar, mahu sedar atau langsung tidak peduli, sudahpun lama mengundang perasaan marah di kalangan majoriti pelumba-pelumba di seluruh negara baik dalam acara lebuhraya, trek atau muntain bike.

Yang nyata juga, para pelumba tidak pernah ada ruang untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka, malah sering disenyapkan dengan berbagai helah seperti ugutan penggantungan lesen, tidak terpilih mewakili negara atau program dan sebagainya.

KEHANCURAN DI MYANMAR

Berbalik ke insiden di Myanmar juga, PKBM tidak ada alasan untuk berdalih dan mengatakan mereka perihatin tentang kebajikan pelumba mereka di sana kerana mereka terang-terang telah menunjukkan bahawa itu bukanlah suatu prioriti. Bayangkanlah pelumba-pelumba tiba di Myanmar dan tinggal di kawasan yang berjauhan daripada perkampungan sukan. 

Dalam mana-mana perlumbaan peringkat antarabangsa, lebih-lebih lagi seperti di Sukan Sea di mana Malaysia telah gagal untuk mendapatkan pingat emas dalam acara lebuhraya sejak tahun 2007 sedangkan acara tersebut telah didominasi oleh kita sebelum itu, memang wajiblah kalau pelumba-pelumba disediakan dengan sekurang-kurangnya seorang physio ataupun tukang urut. Tetapi apabila pelumba tiba di sana 5 hari sebelum perlumbaan mereka mendapati khidmat physio tidak disediakan oleh pengurusan di bawah Amrun. Selepas latihan, terpaksa pula mereka mecari teksi dan mengeluarkan belanja sendiri untuk ke perkampungan sukan bagi mendapatkan khidmat urutan dari physio ISN dan kembali ke hotel mereka selepas itu.

Yang lebih menghampakan pelumba ialah apabila dilihat PKBM lebih mementingkan membawa pegawai-pegawai mereka yang tidak perlu tetapi tidak physio untuk membantu proses recovery dan persediaan athlet menghadapi perlumbaan. Wang yang banyak dihabiskan membeli peralatan dan basikal serta untuk membayar gaji pegawai yang meguruskan program pembangunan lebuhraya, akan tetapi apabila tiba ke perlumbaan yang disasarkan, perkara yang mudah dan tidak memakan kos yang tinggi ini diabaikan begitu sahaja. Pelumba nyata hampa dengan attitude yang kurang professional ini.

Beberapa insiden lain berlaku di gelanggang mtb dan sebagainya, berlarutan kepada pemberitahuan kepada pelumba wanita Caroline ak George malam sebelum perlumbaan lepas beramai-ramai wanita yang dia tidak akan berkayuh nyata membuat pelumba kelahiran Sarawak itu menitiskan airmata, akan tetapi tidak ada ruang untuknya bersuara. 

Dan akhirnya malam sebelum perlumbaan lepas beramai-ramai lelaki di mana tercetusnya kontroversi apabila Zamri Saleh diberitahu bahawa dia telah digugurkan untuk digantikan dengan Mohd Rauf Nor Misbah. Zamri adalah pemenang pingat gangsa acara lepas beramai-ramai di Sukan Sea 2009 di Laos, di mana juga tercetus kontroversi yang sama apabila Loh Sea Keong diberitahu yang dia telah digugurkan hanya setelah tiba di Vientiane.

Alasan diberikan oleh wakil pengurusan kepada media adalah Zamri dan juga Adiq Husainie Othman demam dan laporan media yang keluar pada keesokan harinya dibantah dengan keras oleh kedua-dua pelumba itu.
Yang peliknya siasatan pelumba sendiri mendapati pendaftaran untuk acara lebuhraya itu telah awal-awal diubah oleh salah seorang dalam pihak pengurusan apabila pendaftaran dihantar kepada penganjur. Akan tetapi Zamri hanya diberitahu 12 jam sebelum perlumbaan. Ini menimbulkan rasa marah di kalangan pelumba-pelumba, yang rata-ratanya merupakan pelumba professional dan mereka nyata tidak dapat menerima permainan pihak pengurusan ini. Dan ini adalah perkara yang biasa, bukan sekali-dua, malah berkali-kali dilakukan oleh pihak pengurusan yang sama yang telah bertahun-tahun diberi kepercayaan oleh exco PKBM untuk mengendalikan skuad lebuhraya. Pelumba-pelumba nyata sudah fed-up dengan cara kepimpinan begini dan terus bersatu dalam pendirian tidak mahu berlumba.

Kenapa perlu ada permainan sebegini sedangkan keputusan untuk menyenaraikan pelumba-pelumba ini telah diputuskan oleh jawatankuasa pemilihan PKBM atas syor jurulatih Aminudin Sulaiman? Kenapa penggantian ini disorok dari pelumba-pelumba hingga saat akhir dan kenapa perlu ada wayang di mana pelumba tidak diberitahu bahawa dia telah digantikan lebih awal? Bagaimanakah keputusan sebuah jawatankuasa yang membabitkan keseluruhan exco PKBM boleh diubah dengan sesuka-hati oleh pengurusan?

Pengurusan hanya perlu ikhlas dalam menjalankan tugas dan melakukannya demi pelumba-pelumba mereka sendiri. Kalau soal wang menjadi ukuran, pelumba-pelumba professional ini sudah sering dituduh hanya menang perlumbaan yang menawarkan ganjaran besar. Tanggapan itu nyata salah, kerana walaupun PKBM sendiri menawarkan habuan RM20,000 untuk setiap pingat emas dan mereka berpeluang memenangi kedua-dua pingat emas individu dan berpasukan dalam acara road race sejauh 168km itu untuk membawa pulang RM40,000 hanya untuk perlumbaan sehari sahaja, mereka telah menolak peluang itu kerana berpendirian tegas bahawa cara PKBM menguruskan pasukan dan menjaga kebajikan pelumba harus diubah. Akhirnya mereka berlumba juga setelah berjaya dipujuk oleh seorang insan dari Terengganu, berjaya memenangi pingat perak acara berpasukan, tetapi anda sendiri boleh bayangkan tahap mental dan emosi mereka dalam menghadapi perlumbaan tersebut.

BUKAN HANYA DI MYANMAR

Seperti saya katakan tadi, insiden di Myanmar bukanlah insiden yang isolated dan pertama kali dilakukan oleh pegurusan dan kepimpinan PKBM. Cuma di Myanmar itulah bom jangka yang hanya menunggu masa telah meletop.

Perkara yang sama, seperti saya katakan tadi, berlaku di Laos 2009 mengakibatkan seorang pelumba berkaliber seperti Loh sea Keong telah tawar hati untuk mewakili negara selama 4 tahun sehinggalah dipanggil semula untuk Sukan Sea di Myanmar ini. 

Ia berulang di Kejohanan Asia 2012 di mana Anuar Manan digugurkan pada saat akhir, kononnya digantikan oleh Harrif Saleh kerana prestasi. Akan tetapi di kalangan pelumba-pelumba sendiri timbul cerita mengenai seorang anak pegawai atasan PKBM yang diselitkan dalam pasukan didakwa mereka kerana perlu mewakili negara sekurang-kurangnya sekali pada tahun itu untuk mencukupkan syarat bagi mengekalkan biasiswanya. Jika dibandingkan dengan Anuar, memang prestasi pelumba ini jauh sekali malah dalam perlumbaan tempatan pun langsung tidak menyerlah. Timbullah kenyataan dari pihak pengurusan bahawa Anuar digugurkan kerana tidak menyertai kem latihan dan prestasi pelumba anak pegawai itu sebenarnya menyerlah ketika latihan. Insiden ini telah menimbulkan rasa marah yang mendalam di kalangan segelintir penyokong dan peminat hingga timbul pergerakan menyokong Anuar dan membantah ketegaran berpolitik di kalangan pegawai PKBM. Keputusan perlumbaan juga tidak memihak kepada PKBM apabila pelumba pilihan mereka itu gagal menamatkan perlumbaan, manakala Zamri Saleh yang kemudiannya menjadi mangsa mereka pula menghabiskan perlumbaan di tempat ke empat.

Setahun kemudian, di Kejohanan Asia juga, kali ini di New Delhi, PKBM berjaya menggandakan kontroversi mereka dan kembali dengan pakej cerita komedi yang menjadi bualan hangat di kalangan peminat-peminat lumba basikal negara selama berbulan-bulan. 

Siapa boleh lupa insiden lawatan ke Taj Mahal yang mewarnai kunjungan PKBM ke New Delhi. Dunia maya dikecohkan dengan sebuah sisipan twitter oleh bintang trek negara Azizulhasni Awang yang nyata hampa dengan kehilangan pengurus pasukan trek Hj Ibrahim Mustapha dari velodrom pada waktu penyampaian hadiah di mana pelumba remaja Irwandie Lakasek telah berjaya memenangi pingat emas acara scratch race.

Sememangnya timbul kekecohan apabila pihak penganjur tidak menjumpai rakaman lagu Negaraku dan juga Jalur Gemilang ketika waktu penyampaian hadiah. Dan luahan Azizulhasni itu adalah benar kerana Ibrahim tidak ada di situ untuk menyelesaikan masalah. Akhirnya lagu Negaraku dimainkan setelah disambungkan ke PA system di velodrom melalui youtube yang dimainkan dari talipon bimbit salah seorang pegawai MSN. Jalur Gemilang pula dapat dikibarkan kerana dibawa oleh salah seorang jurulatih. Alasan Ibrahim adalah, beliau juga adalah pengurus pasukan para cycling yang mengajaknya pergi melawat Taj Mahal setelah tamat pertandingan mereka.

Sekembali ke Malaysia, Azizulhasni diberi teguran oleh exco PKBM untuk menjaga kesahihan berita yang disebarkannya melalui twitter kerana Negaraku sebenarnya telah dimainkan dan Jalur Gemilang juga dikibarkan. Ibrahim kononnya telah dihadapkan ke lembaga disiplin, akan tetapi tiada keyantaan susulan mengenai tindakan tatatertib, dan kenyataan daripada beberapa exco PKBM pula menampakkan alasannya diterima dan PKBM pula bertegas menyatakan bahawa lagu Negaraku telah dmainkan dan JalurGemilang dikibarkan. Perkara ini telah nyata mewarnai perbualan di kalangan peminat-peminat lumba basikal di seluruh negara yang sudah lali dengan berbagai komedi dan permainan politik yang dihidangkan oleh badan induk itu.
Jika Ibrahim gagah dengan komedinya bersama skuad trek, gandingan Omar Saad dan Amrun Misnoh pula tidak mahu ketinggalan dengan edisi kontroversi mereka sendiri bermula dengan komedi yang memalukan apabila mereka hanya mendapat tahu bahawa Ahmad Fakhrullah Alias dan Nik Mohd Azwan Zulkifle telah melebihi had umur untuk bertanding dalam acara lebuhraya lepas beramai-ramai bawah-23. Para peminat sudah mula bosan dan curahan bukan sahaja kritikan bahkan kutukan melimpah melalui facebook dan twitter. Perihal pendaftaran ini adalah tanggungjawab pengurusan dan takkanlah peraturan untuk kejohanan besar seperti Kejohanan Asia ini tidak diambil berat oleh mereka sampaikan bukan sahaja kedua-dua pelumba ini telah didaftarkan oleh pengurusan, tetapi berlatih dalam kem pusat dan telah dibawa ke New Delhi untuk berlumba. Dalam sukan lain, Malaysia sering menuduh negara lain menurunkan pemain yang kelihatan terlebih umur tetapi di New Delhi Malaysia sendiri telah terkantol cuba memasukkan pelumba terlebih umur dalam perlumbaan bawah-23. Untuk rekod, Adiq Husainie Othman, salah seorang pelumba di Sukan Sea Myanmar, terpaksa berlumba dengan kekurangan dua rakan sepasukan dalam acara bawah-23 itu. Tidak hairanlah kenapa dia turut memainkan peranan dalam bom jangka yang meletop di Myanmar.
Kontroversi di New Delhi tidak berakhir di situ. Oh tidak, takkanlah tak ada pertukaran saat akhir. Pasti ada. Pada waktu itu pelumba remaja wanita Aimi Iwasaki Mohd Moritishi yang menjadi mangsa permainan. Modus operandi yang sama seperti di Myanmar. Jawatankasa pemilihan menetapkan bahawa dia akan berlumba dalam acara ujian masa inidvidu lebuhraya 3 bulan lebih awal. Dan dia pun menjalani latihan pusat yang fokus ke arah Kejohanan Asia. Juga turut terkantol adalah apabila salinan borang pendaftaran telah disebarkan menunjukkan pihak pengurusan telah awal-awal lagi mendaftarkan seorang pelumba lain, tetapi Aimi tidak diberitahu sehinggalah saat akhir dia digantikan dengan seorang pelumba lain. Dia juga telah disuruh jangan mengecohkan perkara tersebut oleh salah seorang pegawai yang mungkin anda boleh agak siapa, yang turut memberitahunya supaya jangan berkata apa-apa jika ada media bertanya.

Malangnya, pihak pengurusan tetap membuat wayang apabila memberikan alasan mereka telah melakukan kesilapan. Pelumba-pelumba dan peminat tidak menerima alasan ini walaupun barisan exco PKBM memanglah menerimanya. Ini adalah kerana di kalangan jurulatih-jurulatih remaja dan pelapis telah lama timbul rasa sangsi terhadap pengurusan lebuhraya PKBM. 

Pasukan trek di Kejohanan Asia itu telah benar-benar atas faktor kecederaan dan sebagainya melakukan pertukaran pelumba pada saat akhir di New Delhi dan ini diterima oleh penganjur apabila pertukaran dipohon waktu mesyuarat pengurus pasukan sebelum kejohanan. Jika pengurusan skuad lebuhraya benar-benar ikhlas telah melakukan kesilapan, ia dapat diubah dalam mesyuarat pengurus pasukan. Peminat-peminat dan pelumba-pelumba lain yang mengikuti perkembangan Kejohanan Asia di New Delhi itu lebih terkejut apabila tiada tindakan ke atas pengurusan yang bertanggungjawab ke atas kesilapan bodoh di New Delhi itu, malah mereka terus diberi kepercayaan untuk membawa skuad ke Myanmar. Jadi adakah insiden di Myanmar itu hanya menanti masa untuk terjadi?

DI MANA PULA BERLAKU DISKRIMINASI?

Para pelumba dan peminat di kala ini sering berjumpa, malah berkayuh dan bersembang bersama dalam ratusan acara-acara berbasikal, baik basikal road atau mtb, mahupun acara-acara kayuhan besar-besaran. Jadi dengan itu maka hubungan dan komunikasi antara mereka adalah rapat, lebih-lebih lagi melalui saluran-saluran sosial seperti Facebook. 

Dengan itu juga komuniti berbasikal memanglah sedia mengetahui segala perkembangan di dalam PKBM. Apabila mereka telah arif tentang apa yang berlaku di dalam PKBM, baik insiden-insiden kontroversi mahupun cerita-cerita megenai pengamalan nepotisme di mana ada cerita bahawa sesetengah anak pegwai atasan PKBM turut mengaut untuk dari persatuan dalam menerima kontrak pembelian supplement dan makanan tambahan, ada pula anaknya yang lain dibayar untuk penyediaan makan sewaktu kem latihan, sewa rumah, kehilangan wang elaun pelumba dan sebagainya, maka cerita-cerita ini cepat tersebar di kalangan komuniti berbasikal. PKBM tidak lagi boleh bersembunyi dengan cara bersenyap dan mengongkong sukan berbasikal di kalangan mereka sahaja. Peminat dan pelumba-pelumba di seluruh negara mulalah mahukan perubahan. Perubahan hanya dapat dilakukan jika peminat atau pelumba itu melibatkan diri dalam persatuan negeri, dari mana perwakilan menentukan pucuk pimpinan PKBM itu sendiri.

Di sini tersebarlah pula cerita-cerita mengenai sekatan keahlian di kalangan persatuan negeri, apabila peminat dan banyak juga insiden di mana bekas-bekas pelumba sendiri tidak diberi keahlian dalam persatuan negeri. Ini bukan cerita yang diada-adakan, tetapi adalah kenyataan. Ramai yang sudah mula bising kerana pegawai-pegawai di peringkat negeri mengongkong persatuan di kalangan kuncu-kuncu mereka sahaja. Maka tidak hairanlah mengapa kebanyakan persatuan negeri dan PKBM sendiri terdiri dari majoriti pegawai-pegawai yang telah bertahun-tahun, malah berdekad-dekad memegang jawatan, contohnya presiden PKBM itu sendiri yang mula menyejukkan kerusi panas itu sejak tahun 1990. Sudah masuk 24 tahun.

Bermacam-macam alasan didengari ataupun kebiasaannya persatuan negeri tidak melayan permintaan untuk borang permohonan keahlian. Memanglah bila ditanya, pegawai-pegawai di peringkat negeri itu sama-sekali menolak dakwaan ini. Akan tetapi bukan satu, dua ataupun 20, mahupun 30 sahaja di seluruh negara yang menyuarakan perkara yang sama. Sudah masuk beratus insiden seperti ini. 

Dalam persatuan negeri pula, ada pula kerenah lain yang menyekat suara pelumba dari didengari.
Modus operandi paling popular di kalangan persatuan negeri ialah meminda perlembagaan supaya pelumba-pelumba tidak mengundi dalam pemilihan jawatankuasa mahupun pucuk pimpinan persatuan. Ini berleluasa. Ada pula kedengaran ahli yang banyak bersuara akhirnya tidak dimaklumkan tentang mesyuarat. Berbagai-bagai cara di mana sukan berbasikal ini dikongkong daripada berkembang.

Diskriminasi terhadap pelumba-pelumba lebih terserlah di peringkat negeri sebenarnya. Di mana ada persatuan negeri yang dahulunya membenarkan para pelumba mungundi untuk menentukan pucuk pimpinan, sudah mula tidak senang dengan suara pelumba-pelumba yang semakin kuat melaungkan perlunya perubahan. Mereka sudah mula meminda perlembagaan persatuan negeri untuk menghalang pelumba dari mendapat hak untuk menentukan hala tuju persatuan mereka. 

Maka dengan itu suara ataupun kemahuan mereka yang sebenarnya aktif menggiatkan sukan ini tidak sama kekuasaannya seperti mereka yang pada penilaian saya ini nampak seperti tidak mahu jawatan mereka (yang sepatutnya atas dasar sukarela ini) tergugat dengar kebanjiran keahlian baru. Jika suara pelumba tidak kedengaran di peringkat negeri, begitu juga suara jurulatih yang melahirkan athlet juga kurang kedengaran. Ini adalah kerana merekalah biasanya orang pertama yang akan bersuara mahukan perubahan apabila kebajikan athlet tidak terjaga ataupun terjamin. Inilah suara-suara yang biasanya akan cepat ditutup oleh pegawai-pegawai yang berkuasa. Malah suara jurulatih yang menyoal kenapa walau sedikitpun bajet tahunan untuk pembangunan lebuhraya PKBM langsung tidak sampai kepada athlet di bawah jagaan mereka juga tidak kedengaran. 

Di sinilah bermula kepincangan dalam pembangunan apabila ada sesetengah persatuan negeri sampaikan tidak peduli jika mereka tiada pelumba sekali pun. Malah ada persatuan yang wujud dengan lebih ramai pemegang jawatan daripada pelumba. Cuba anda lihat sendiri di kalangan persatuan negeri, kebanyakkannya tidak mempunyai barisan pelumba-pelumba senior yang kukuh dan mereka berasa tidak perlu mencari dana untuk memantapkan skuad senior selepas Sukma kerana dana dari kerajaan negeri biasanya hanya setakat sukan dwi tahunan itu. Lagipun, kalau yang dewasa ni mesti dah pandai dan pasti banyak soal. Kan??
Kenapa tiada sedangkan beribu-ribu penggemar berbasikal yang dewasa di seluruh negara begitu aktif menubuhkan kelab-kelab mereka sendiri dan bergiat dalam perlumbaan kecil-kecilan di seluruh negara. Sebabnya saya rasa telahpun dijelaskan di atas. Kebanyakkannya juga sudah arif tentang permainan politik yang berleluasa di kalangan kelompok kecil PKBM serta ahli gabungan mereka. Mereka ini lebih gemar aktif dalam sukan tanpa terlibat dengan permainan politik.

Di sinilah terjawab konspirasi besar yang berleluasa tanpa kita sedari. Jika golongan yang aktif dalam sukan ini dan yang paling penting, athlet itu sendiri tidak berkuasa untuk memilih siapa yang akan memimpin mereka, bukankah itu satu penindasan oleh golongan minoriti ke atas majoriti?

JALAN KELUAR

Di peringkat PKBM sudah tidak ada cara lain melainkan mereka yang terlibat dalam permasalahan dan setelah berjuta-juta ringgit dana saluran kerajaan untuk pembangunan lebuhraya entah ke mana dan hanya membawa kegagalan. Ya, mereka memang berkuasa dan mungkin dapat memutarkan sokongan dari perwakilan negeri untuk terus kekal di jawatan masing-masing buat selamanya. Tetapi tidakkah mereka malu untuk terus duduk di situ setelah memainkan watak-watak utama dalam siri komedi yang tertera di atas?

INI RUMUSAN APA YANG DISUARAKAN MAJORITI PEMINAT DAN PELUMBA: 

Presiden harus undur diri dulu kerana semua ini berlaku di bawah telunjuknya dan dia tidak boleh berkata yang dia tidak tahu apa-apa, malah dia telah melibatkan anaknya sendiri dalam program ini untuk membantunya. Program Pembangunan Lebuhraya PKBM yang diberi dana jutaan ringgit terus dari kerajaan tidak melibatkan keseluruhan majlis PKBM, tetapi hanya menjadi bahan mainan nama-nama yang disebut di atas. Jadi soal pokoknya, mereka telah diberi masa sejak 2007 di mana bermula tajaan kerajaan untuk program lebuhraya dan kebebasan tanpa campurtangan sesiapa untuk membawa kejayaan.Namun mereka tetap gagal.

EXCO PKBM juga harus memandang serius gesaan jurulatih-jurulatih negeri dan pelumba-pelumba senior dan bekas pelumba untuk mengadakan satu forum di mana mereka dapat meluahkan isi hati mereka kepada PKBM dan mereka dapat meluahkan kenapa mereka mahu para pemegang jawatan ini mengundur diri. Ini adalah suara keramat yang harus PKBM dengar sendiri.

Kita tidak perlu takut untuk melakukan perubahan ini kerana anda hanya perlu lihat apa yang terjadi di Sukan Sea Myanmar dan Kejohanan Asia New Delhi tahun 2013 untuk menyedari bahawa segala usaha pembangunan di bawah PKBM berada di tahap kritikal dan memalukan. Jangan babitkan program trek, kerana ia tidak akan terjejas oleh kerana program trek adalah di bawah kelolaan pihak MSN.

Dengan perubahan dalam PKBM, maka di peringkat negeri-negeri perlulah bermula dengan pengamalan konsep yang lebih telus dan terbuka. Sesiapa yang dihalang atau merasakan kemahuannya untuk melibatkan diri dalam persatuan negeri tidak diendahkan, harus menyuarakannya kepada saluran-saluran seperti Bahagian Aduan Pejabat Pesuruhjaya Sukan, media dan sebagainya. Mesti ada usaha dari ramai dan semua mesti berani untuk membawa perubahan ini.

Persatuan-persatuan negeri harus menggandakan usaha untuk menambah keahlian, bukan menyekat. Biarlah sukan berbasikal ini mempunyai lebih ramai ahli-ahli yang aktif bukan dikongkong oleh segelintir dan disimpan untuk dikongsi di kalangan kelompok kecil sahaja. Biarlah kalau kesemua 28 juta rakyat Malaysia ini semuanya ada memegang keahlian dalam persatuan berbasikal negeri. Pemimpin yang dipilih oleh suara ramai, bukankah lebih terserlah kualitinya daripada pemimpin yang dipilih di kalangan kroni-kroninya sendiri sahaja? Tidakkah itu lebih bagus?

Sekian, terima kasih kerana membaca.

LET'S KICK POLITICS OUT OF MALAYSIAN CYCLING.

**arnaz ialah seorang wartawan sukan senior NST dan bergelumang lebih 15 tahun dalam arena sukan negara dengan mempunyai kecintaan sangat mendalam dalam sukan berbasikal dan permotoran.

No comments:

Post a Comment

your comments is valuable..