atas dasar semangat setiakawan, aku paste kan surat terbuka dari seorang sahabat wartawan sukan untuk paparan semua. sekadar mengajak kita menyelami, berfikir, mengkaji, dan mencari solusi...
DISKRIMINASI DAN PENGANIAYAAN BERTERUSAN KE ATAS PELUMBA DALAM ARENA BERBASIKAL MALAYSIA
oleh: Arnaz M.Khairul
Saudara-saudara,
Akhir-akhir ini arena berbasikal negara bergolak lagi di bawah
kepimpinan presiden PErsekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM)
Ybhg. Dato' Abu Samah Wahab, memuncak dengan kontroversi malam sebelum
acara lebuhraya lepas beramai-ramai lelaki di Sukan Sea Myanmar di mana
skuad berbasikal negara mengambil keputusan drastik untuk tidak turun
beraksi dalam perlumbaan keesokan harinya kerana perasaan tidak puas
hati terhadap pihak pengurusan di bawah En. Amrun Misnoh.
Hanya
campurtangan oleh salah seorang dari panel kejurulatihan MSN Terengganu
yang bersama rombongan dari negeri itu yang pergi ke Myanmar untuk
menyaksikan perlumbaan tersebut dapat memujuk para pelumba untuk berubah
fikiran. Perasaan marah begitu membuak hinggakan mereka hanya mahu
berlumba jika Amrun tidak berada menguruskan mereka dalam perlumbaan.
Saya tidak mahu berlengah dan menceritakan semula insiden tersebut
tetapi yang penting dan harus ditegaskan di sini adalah kes ini umpama
sebuah bom jangka yang hanya menunggu masa untuk meletop akibat
diskriminasi yang berterusan yang diamalkan oleh pihak PKBM dalam
menjaga hal ehwal para pelumba baik dari akar umbi hingga keperingkat
elit.
Insiden dari perspektif tindakan PKBM bukanlah suatu insiden
yang isolated, tetapi permainan segelintir pemegang jawatan itu telah
berlaku banyak kali. Segalanya bermula dari peringkat akar umbi dan
bukan saja melibatkan kemarahan 6 orang pelumba kebangsaan di Myanmar
itu. PKBM, samada mereka sedar, mahu sedar atau langsung tidak peduli,
sudahpun lama mengundang perasaan marah di kalangan majoriti
pelumba-pelumba di seluruh negara baik dalam acara lebuhraya, trek atau
muntain bike.
Yang nyata juga, para pelumba tidak pernah ada ruang
untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka, malah sering disenyapkan
dengan berbagai helah seperti ugutan penggantungan lesen, tidak
terpilih mewakili negara atau program dan sebagainya.
KEHANCURAN DI MYANMAR
Berbalik ke insiden di Myanmar juga, PKBM tidak ada alasan untuk
berdalih dan mengatakan mereka perihatin tentang kebajikan pelumba
mereka di sana kerana mereka terang-terang telah menunjukkan bahawa itu
bukanlah suatu prioriti. Bayangkanlah pelumba-pelumba tiba di Myanmar
dan tinggal di kawasan yang berjauhan daripada perkampungan sukan.
Dalam mana-mana perlumbaan peringkat antarabangsa, lebih-lebih lagi
seperti di Sukan Sea di mana Malaysia telah gagal untuk mendapatkan
pingat emas dalam acara lebuhraya sejak tahun 2007 sedangkan acara
tersebut telah didominasi oleh kita sebelum itu, memang wajiblah kalau
pelumba-pelumba disediakan dengan sekurang-kurangnya seorang physio
ataupun tukang urut. Tetapi apabila pelumba tiba di sana 5 hari sebelum
perlumbaan mereka mendapati khidmat physio tidak disediakan oleh
pengurusan di bawah Amrun. Selepas latihan, terpaksa pula mereka mecari
teksi dan mengeluarkan belanja sendiri untuk ke perkampungan sukan bagi
mendapatkan khidmat urutan dari physio ISN dan kembali ke hotel mereka
selepas itu.
Yang lebih menghampakan pelumba ialah apabila dilihat
PKBM lebih mementingkan membawa pegawai-pegawai mereka yang tidak perlu
tetapi tidak physio untuk membantu proses recovery dan persediaan
athlet menghadapi perlumbaan. Wang yang banyak dihabiskan membeli
peralatan dan basikal serta untuk membayar gaji pegawai yang meguruskan
program pembangunan lebuhraya, akan tetapi apabila tiba ke perlumbaan
yang disasarkan, perkara yang mudah dan tidak memakan kos yang tinggi
ini diabaikan begitu sahaja. Pelumba nyata hampa dengan attitude yang
kurang professional ini.
Beberapa insiden lain berlaku di
gelanggang mtb dan sebagainya, berlarutan kepada pemberitahuan kepada
pelumba wanita Caroline ak George malam sebelum perlumbaan lepas
beramai-ramai wanita yang dia tidak akan berkayuh nyata membuat pelumba
kelahiran Sarawak itu menitiskan airmata, akan tetapi tidak ada ruang
untuknya bersuara.
Dan akhirnya malam sebelum perlumbaan lepas
beramai-ramai lelaki di mana tercetusnya kontroversi apabila Zamri Saleh
diberitahu bahawa dia telah digugurkan untuk digantikan dengan Mohd
Rauf Nor Misbah. Zamri adalah pemenang pingat gangsa acara lepas
beramai-ramai di Sukan Sea 2009 di Laos, di mana juga tercetus
kontroversi yang sama apabila Loh Sea Keong diberitahu yang dia telah
digugurkan hanya setelah tiba di Vientiane.
Alasan diberikan oleh
wakil pengurusan kepada media adalah Zamri dan juga Adiq Husainie Othman
demam dan laporan media yang keluar pada keesokan harinya dibantah
dengan keras oleh kedua-dua pelumba itu.
Yang peliknya siasatan
pelumba sendiri mendapati pendaftaran untuk acara lebuhraya itu telah
awal-awal diubah oleh salah seorang dalam pihak pengurusan apabila
pendaftaran dihantar kepada penganjur. Akan tetapi Zamri hanya
diberitahu 12 jam sebelum perlumbaan. Ini menimbulkan rasa marah di
kalangan pelumba-pelumba, yang rata-ratanya merupakan pelumba
professional dan mereka nyata tidak dapat menerima permainan pihak
pengurusan ini. Dan ini adalah perkara yang biasa, bukan sekali-dua,
malah berkali-kali dilakukan oleh pihak pengurusan yang sama yang telah
bertahun-tahun diberi kepercayaan oleh exco PKBM untuk mengendalikan
skuad lebuhraya. Pelumba-pelumba nyata sudah fed-up dengan cara
kepimpinan begini dan terus bersatu dalam pendirian tidak mahu berlumba.
Kenapa perlu ada permainan sebegini sedangkan keputusan untuk
menyenaraikan pelumba-pelumba ini telah diputuskan oleh jawatankuasa
pemilihan PKBM atas syor jurulatih Aminudin Sulaiman? Kenapa penggantian
ini disorok dari pelumba-pelumba hingga saat akhir dan kenapa perlu ada
wayang di mana pelumba tidak diberitahu bahawa dia telah digantikan
lebih awal? Bagaimanakah keputusan sebuah jawatankuasa yang membabitkan
keseluruhan exco PKBM boleh diubah dengan sesuka-hati oleh pengurusan?
Pengurusan hanya perlu ikhlas dalam menjalankan tugas dan
melakukannya demi pelumba-pelumba mereka sendiri. Kalau soal wang
menjadi ukuran, pelumba-pelumba professional ini sudah sering
dituduh hanya menang perlumbaan yang menawarkan ganjaran besar.
Tanggapan itu nyata salah, kerana walaupun PKBM sendiri menawarkan
habuan RM20,000 untuk setiap pingat emas dan mereka berpeluang memenangi
kedua-dua pingat emas individu dan berpasukan dalam acara road race
sejauh 168km itu untuk membawa pulang RM40,000 hanya untuk perlumbaan
sehari sahaja, mereka telah menolak peluang itu kerana berpendirian
tegas bahawa cara PKBM menguruskan pasukan dan menjaga kebajikan pelumba
harus diubah. Akhirnya mereka berlumba juga setelah berjaya dipujuk
oleh seorang insan dari Terengganu, berjaya memenangi pingat perak acara
berpasukan, tetapi anda sendiri boleh bayangkan tahap mental dan emosi
mereka dalam menghadapi perlumbaan tersebut.
BUKAN HANYA DI MYANMAR
Seperti saya katakan tadi, insiden di Myanmar bukanlah insiden yang
isolated dan pertama kali dilakukan oleh pegurusan dan kepimpinan PKBM.
Cuma di Myanmar itulah bom jangka yang hanya menunggu masa telah
meletop.
Perkara yang sama, seperti saya katakan tadi, berlaku di
Laos 2009 mengakibatkan seorang pelumba berkaliber seperti Loh sea Keong
telah tawar hati untuk mewakili negara selama 4 tahun sehinggalah
dipanggil semula untuk Sukan Sea di Myanmar ini.
Ia berulang di
Kejohanan Asia 2012 di mana Anuar Manan digugurkan pada saat akhir,
kononnya digantikan oleh Harrif Saleh kerana prestasi. Akan tetapi di
kalangan pelumba-pelumba sendiri timbul cerita mengenai seorang anak
pegawai atasan PKBM yang diselitkan dalam pasukan didakwa mereka kerana
perlu mewakili negara sekurang-kurangnya sekali pada tahun itu untuk
mencukupkan syarat bagi mengekalkan biasiswanya. Jika dibandingkan
dengan Anuar, memang prestasi pelumba ini jauh sekali malah dalam
perlumbaan tempatan pun langsung tidak menyerlah. Timbullah kenyataan
dari pihak pengurusan bahawa Anuar digugurkan kerana tidak menyertai kem
latihan dan prestasi pelumba anak pegawai itu sebenarnya menyerlah
ketika latihan. Insiden ini telah menimbulkan rasa marah yang mendalam
di kalangan segelintir penyokong dan peminat hingga timbul pergerakan
menyokong Anuar dan membantah ketegaran berpolitik di kalangan pegawai
PKBM. Keputusan perlumbaan juga tidak memihak kepada PKBM apabila
pelumba pilihan mereka itu gagal menamatkan perlumbaan, manakala Zamri
Saleh yang kemudiannya menjadi mangsa mereka pula menghabiskan
perlumbaan di tempat ke empat.
Setahun kemudian, di Kejohanan Asia
juga, kali ini di New Delhi, PKBM berjaya menggandakan kontroversi
mereka dan kembali dengan pakej cerita komedi yang menjadi bualan hangat
di kalangan peminat-peminat lumba basikal negara selama berbulan-bulan.
Siapa boleh lupa insiden lawatan ke Taj Mahal yang mewarnai
kunjungan PKBM ke New Delhi. Dunia maya dikecohkan dengan sebuah sisipan
twitter oleh bintang trek negara Azizulhasni Awang yang nyata hampa
dengan kehilangan pengurus pasukan trek Hj Ibrahim Mustapha dari
velodrom pada waktu penyampaian hadiah di mana pelumba remaja Irwandie Lakasek telah berjaya memenangi pingat emas acara scratch race.
Sememangnya timbul kekecohan apabila pihak penganjur tidak menjumpai
rakaman lagu Negaraku dan juga Jalur Gemilang ketika waktu penyampaian
hadiah. Dan luahan Azizulhasni itu adalah benar kerana Ibrahim tidak ada
di situ untuk menyelesaikan masalah. Akhirnya lagu Negaraku dimainkan
setelah disambungkan ke PA system di velodrom melalui youtube yang
dimainkan dari talipon bimbit salah seorang pegawai MSN. Jalur Gemilang
pula dapat dikibarkan kerana dibawa oleh salah seorang jurulatih. Alasan Ibrahim adalah, beliau juga adalah pengurus pasukan para cycling
yang mengajaknya pergi melawat Taj Mahal setelah tamat pertandingan
mereka.
Sekembali ke Malaysia, Azizulhasni diberi teguran oleh
exco PKBM untuk menjaga kesahihan berita yang disebarkannya melalui
twitter kerana Negaraku sebenarnya telah dimainkan dan Jalur Gemilang
juga dikibarkan. Ibrahim kononnya telah dihadapkan ke lembaga disiplin,
akan tetapi tiada keyantaan susulan mengenai tindakan tatatertib, dan kenyataan daripada beberapa exco PKBM pula menampakkan alasannya
diterima dan PKBM pula bertegas menyatakan bahawa lagu Negaraku telah
dmainkan dan JalurGemilang dikibarkan. Perkara ini telah nyata mewarnai
perbualan di kalangan peminat-peminat lumba basikal di seluruh negara
yang sudah lali dengan berbagai komedi dan permainan politik yang
dihidangkan oleh badan induk itu.
Jika Ibrahim gagah dengan
komedinya bersama skuad trek, gandingan Omar Saad dan Amrun Misnoh pula
tidak mahu ketinggalan dengan edisi kontroversi mereka sendiri bermula
dengan komedi yang memalukan apabila mereka hanya mendapat tahu bahawa
Ahmad Fakhrullah Alias dan Nik Mohd Azwan Zulkifle telah melebihi had
umur untuk bertanding dalam acara lebuhraya lepas beramai-ramai
bawah-23. Para peminat sudah mula bosan dan curahan bukan sahaja
kritikan bahkan kutukan melimpah melalui facebook dan twitter. Perihal
pendaftaran ini adalah tanggungjawab pengurusan dan takkanlah peraturan
untuk kejohanan besar seperti Kejohanan Asia ini tidak diambil berat
oleh mereka sampaikan bukan sahaja kedua-dua pelumba ini telah
didaftarkan oleh pengurusan, tetapi berlatih dalam kem pusat dan telah
dibawa ke New Delhi untuk berlumba. Dalam sukan lain, Malaysia sering
menuduh negara lain menurunkan pemain yang kelihatan terlebih umur
tetapi di New Delhi Malaysia sendiri telah terkantol cuba memasukkan
pelumba terlebih umur dalam perlumbaan bawah-23. Untuk rekod, Adiq
Husainie Othman, salah seorang pelumba di Sukan Sea Myanmar, terpaksa
berlumba dengan kekurangan dua rakan sepasukan dalam acara bawah-23 itu.
Tidak hairanlah kenapa dia turut memainkan peranan dalam bom jangka
yang meletop di Myanmar.
Kontroversi di New Delhi tidak berakhir
di situ. Oh tidak, takkanlah tak ada pertukaran saat akhir. Pasti ada.
Pada waktu itu pelumba remaja wanita Aimi Iwasaki Mohd Moritishi yang
menjadi mangsa permainan. Modus operandi yang sama seperti di Myanmar.
Jawatankasa pemilihan menetapkan bahawa dia akan berlumba dalam acara
ujian masa inidvidu lebuhraya 3 bulan lebih awal. Dan dia pun menjalani
latihan pusat yang fokus ke arah Kejohanan Asia. Juga turut terkantol
adalah apabila salinan borang pendaftaran telah disebarkan menunjukkan
pihak pengurusan telah awal-awal lagi mendaftarkan seorang pelumba lain,
tetapi Aimi tidak diberitahu sehinggalah saat akhir dia digantikan
dengan seorang pelumba lain. Dia juga telah disuruh jangan mengecohkan
perkara tersebut oleh salah seorang pegawai yang mungkin anda boleh agak
siapa, yang turut memberitahunya supaya jangan berkata apa-apa jika ada
media bertanya.
Malangnya, pihak pengurusan tetap membuat wayang
apabila memberikan alasan mereka telah melakukan kesilapan.
Pelumba-pelumba dan peminat tidak menerima alasan ini walaupun barisan
exco PKBM memanglah menerimanya. Ini adalah kerana di kalangan
jurulatih-jurulatih remaja dan pelapis telah lama timbul rasa sangsi
terhadap pengurusan lebuhraya PKBM.
Pasukan trek di
Kejohanan Asia itu telah benar-benar atas faktor kecederaan dan
sebagainya melakukan pertukaran pelumba pada saat akhir di New Delhi dan
ini diterima oleh penganjur apabila pertukaran dipohon waktu mesyuarat
pengurus pasukan sebelum kejohanan. Jika pengurusan skuad lebuhraya
benar-benar ikhlas telah melakukan kesilapan, ia dapat diubah dalam
mesyuarat pengurus pasukan. Peminat-peminat dan pelumba-pelumba
lain yang mengikuti perkembangan Kejohanan Asia di New Delhi itu lebih
terkejut apabila tiada tindakan ke atas pengurusan yang bertanggungjawab
ke atas kesilapan bodoh di New Delhi itu, malah mereka terus diberi
kepercayaan untuk membawa skuad ke Myanmar. Jadi adakah insiden di
Myanmar itu hanya menanti masa untuk terjadi?
DI MANA PULA BERLAKU DISKRIMINASI?
Para pelumba dan peminat di kala ini sering berjumpa, malah berkayuh
dan bersembang bersama dalam ratusan acara-acara berbasikal, baik
basikal road atau mtb, mahupun acara-acara kayuhan besar-besaran. Jadi
dengan itu maka hubungan dan komunikasi antara mereka adalah rapat,
lebih-lebih lagi melalui saluran-saluran sosial seperti Facebook.
Dengan itu juga komuniti berbasikal memanglah sedia mengetahui segala
perkembangan di dalam PKBM. Apabila mereka telah arif tentang apa yang
berlaku di dalam PKBM, baik insiden-insiden kontroversi mahupun
cerita-cerita megenai pengamalan nepotisme di mana ada cerita bahawa
sesetengah anak pegwai atasan PKBM turut mengaut untuk dari persatuan
dalam menerima kontrak pembelian supplement dan makanan tambahan, ada
pula anaknya yang lain dibayar untuk penyediaan makan sewaktu kem
latihan, sewa rumah, kehilangan wang elaun pelumba dan sebagainya, maka
cerita-cerita ini cepat tersebar di kalangan komuniti berbasikal. PKBM
tidak lagi boleh bersembunyi dengan cara bersenyap dan mengongkong sukan
berbasikal di kalangan mereka sahaja. Peminat dan pelumba-pelumba di
seluruh negara mulalah mahukan perubahan. Perubahan hanya dapat
dilakukan jika peminat atau pelumba itu melibatkan diri dalam persatuan
negeri, dari mana perwakilan menentukan pucuk pimpinan PKBM itu sendiri.
Di sini tersebarlah pula cerita-cerita mengenai sekatan keahlian di
kalangan persatuan negeri, apabila peminat dan banyak juga insiden di
mana bekas-bekas pelumba sendiri tidak diberi keahlian dalam
persatuan negeri. Ini bukan cerita yang diada-adakan, tetapi adalah
kenyataan. Ramai yang sudah mula bising kerana pegawai-pegawai di
peringkat negeri mengongkong persatuan di kalangan kuncu-kuncu mereka
sahaja. Maka tidak hairanlah mengapa kebanyakan persatuan negeri dan
PKBM sendiri terdiri dari majoriti pegawai-pegawai yang telah
bertahun-tahun, malah berdekad-dekad memegang jawatan, contohnya
presiden PKBM itu sendiri yang mula menyejukkan kerusi panas itu sejak
tahun 1990. Sudah masuk 24 tahun.
Bermacam-macam alasan didengari
ataupun kebiasaannya persatuan negeri tidak melayan permintaan untuk
borang permohonan keahlian. Memanglah bila ditanya, pegawai-pegawai di
peringkat negeri itu sama-sekali menolak dakwaan ini. Akan tetapi bukan
satu, dua ataupun 20, mahupun 30 sahaja di seluruh negara yang
menyuarakan perkara yang sama. Sudah masuk beratus insiden seperti ini.
Dalam persatuan negeri pula, ada pula kerenah lain yang menyekat suara pelumba dari didengari.
Modus operandi paling popular di kalangan persatuan negeri ialah
meminda perlembagaan supaya pelumba-pelumba tidak mengundi dalam
pemilihan jawatankuasa mahupun pucuk pimpinan persatuan. Ini berleluasa.
Ada pula kedengaran ahli yang banyak bersuara akhirnya tidak
dimaklumkan tentang mesyuarat. Berbagai-bagai cara di mana sukan
berbasikal ini dikongkong daripada berkembang.
Diskriminasi
terhadap pelumba-pelumba lebih terserlah di peringkat negeri sebenarnya.
Di mana ada persatuan negeri yang dahulunya membenarkan para pelumba
mungundi untuk menentukan pucuk pimpinan, sudah mula tidak senang dengan
suara pelumba-pelumba yang semakin kuat melaungkan perlunya perubahan.
Mereka sudah mula meminda perlembagaan persatuan negeri untuk menghalang
pelumba dari mendapat hak untuk menentukan hala tuju persatuan mereka.
Maka dengan itu suara ataupun kemahuan mereka yang sebenarnya
aktif menggiatkan sukan ini tidak sama kekuasaannya seperti mereka yang
pada penilaian saya ini nampak seperti tidak mahu jawatan mereka (yang
sepatutnya atas dasar sukarela ini) tergugat dengar kebanjiran keahlian
baru. Jika suara pelumba tidak kedengaran di peringkat negeri,
begitu juga suara jurulatih yang melahirkan athlet juga kurang
kedengaran. Ini adalah kerana merekalah biasanya orang pertama yang akan
bersuara mahukan perubahan apabila kebajikan athlet tidak terjaga
ataupun terjamin. Inilah suara-suara yang biasanya akan cepat ditutup
oleh pegawai-pegawai yang berkuasa. Malah suara jurulatih yang
menyoal kenapa walau sedikitpun bajet tahunan untuk pembangunan
lebuhraya PKBM langsung tidak sampai kepada athlet di bawah jagaan
mereka juga tidak kedengaran.
Di sinilah bermula kepincangan
dalam pembangunan apabila ada sesetengah persatuan negeri sampaikan
tidak peduli jika mereka tiada pelumba sekali pun. Malah ada persatuan
yang wujud dengan lebih ramai pemegang jawatan daripada pelumba. Cuba
anda lihat sendiri di kalangan persatuan negeri, kebanyakkannya tidak
mempunyai barisan pelumba-pelumba senior yang kukuh dan mereka berasa
tidak perlu mencari dana untuk memantapkan skuad senior selepas Sukma
kerana dana dari kerajaan negeri biasanya hanya setakat sukan dwi
tahunan itu. Lagipun, kalau yang dewasa ni mesti dah pandai dan pasti
banyak soal. Kan??
Kenapa tiada sedangkan beribu-ribu penggemar
berbasikal yang dewasa di seluruh negara begitu aktif menubuhkan
kelab-kelab mereka sendiri dan bergiat dalam perlumbaan kecil-kecilan di
seluruh negara. Sebabnya saya rasa telahpun dijelaskan di atas.
Kebanyakkannya juga sudah arif tentang permainan politik yang berleluasa
di kalangan kelompok kecil PKBM serta ahli gabungan mereka. Mereka ini
lebih gemar aktif dalam sukan tanpa terlibat dengan permainan politik.
Di sinilah terjawab konspirasi besar yang berleluasa tanpa kita
sedari. Jika golongan yang aktif dalam sukan ini dan yang paling
penting, athlet itu sendiri tidak berkuasa untuk memilih siapa yang akan
memimpin mereka, bukankah itu satu penindasan oleh golongan minoriti ke
atas majoriti?
JALAN KELUAR
Di peringkat PKBM sudah
tidak ada cara lain melainkan mereka yang terlibat dalam permasalahan
dan setelah berjuta-juta ringgit dana saluran kerajaan untuk pembangunan
lebuhraya entah ke mana dan hanya membawa kegagalan. Ya, mereka memang
berkuasa dan mungkin dapat memutarkan sokongan dari perwakilan negeri
untuk terus kekal di jawatan masing-masing buat selamanya. Tetapi
tidakkah mereka malu untuk terus duduk di situ setelah memainkan
watak-watak utama dalam siri komedi yang tertera di atas?
INI
RUMUSAN APA YANG DISUARAKAN MAJORITI PEMINAT DAN PELUMBA:
Presiden harus
undur diri dulu kerana semua ini berlaku di bawah telunjuknya dan dia
tidak boleh berkata yang dia tidak tahu apa-apa, malah dia telah
melibatkan anaknya sendiri dalam program ini untuk membantunya. Program
Pembangunan Lebuhraya PKBM yang diberi dana jutaan ringgit terus dari
kerajaan tidak melibatkan keseluruhan majlis PKBM, tetapi hanya menjadi
bahan mainan nama-nama yang disebut di atas. Jadi soal pokoknya, mereka
telah diberi masa sejak 2007 di mana bermula tajaan kerajaan untuk
program lebuhraya dan kebebasan tanpa campurtangan sesiapa untuk membawa
kejayaan.Namun mereka tetap gagal.
EXCO PKBM juga harus memandang
serius gesaan jurulatih-jurulatih negeri dan pelumba-pelumba senior dan
bekas pelumba untuk mengadakan satu forum di mana mereka dapat meluahkan
isi hati mereka kepada PKBM dan mereka dapat meluahkan kenapa mereka
mahu para pemegang jawatan ini mengundur diri. Ini adalah suara keramat
yang harus PKBM dengar sendiri.
Kita tidak perlu
takut untuk melakukan perubahan ini kerana anda hanya perlu lihat apa
yang terjadi di Sukan Sea Myanmar dan Kejohanan Asia New Delhi tahun
2013 untuk menyedari bahawa segala usaha pembangunan di bawah PKBM
berada di tahap kritikal dan memalukan. Jangan babitkan program trek,
kerana ia tidak akan terjejas oleh kerana program trek adalah di bawah
kelolaan pihak MSN.
Dengan perubahan dalam PKBM, maka di
peringkat negeri-negeri perlulah bermula dengan pengamalan konsep yang
lebih telus dan terbuka. Sesiapa yang dihalang atau merasakan
kemahuannya untuk melibatkan diri dalam persatuan negeri tidak
diendahkan, harus menyuarakannya kepada saluran-saluran seperti Bahagian
Aduan Pejabat Pesuruhjaya Sukan, media dan sebagainya. Mesti ada usaha
dari ramai dan semua mesti berani untuk membawa perubahan ini.
Persatuan-persatuan negeri harus menggandakan usaha untuk menambah
keahlian, bukan menyekat. Biarlah sukan berbasikal ini mempunyai lebih
ramai ahli-ahli yang aktif bukan dikongkong oleh segelintir dan disimpan
untuk dikongsi di kalangan kelompok kecil sahaja. Biarlah kalau kesemua
28 juta rakyat Malaysia ini semuanya ada memegang keahlian dalam
persatuan berbasikal negeri. Pemimpin yang dipilih oleh suara ramai,
bukankah lebih terserlah kualitinya daripada pemimpin yang dipilih di
kalangan kroni-kroninya sendiri sahaja? Tidakkah itu lebih bagus?
Sekian, terima kasih kerana membaca.
LET'S KICK POLITICS OUT OF MALAYSIAN CYCLING.
**arnaz ialah seorang wartawan sukan senior NST dan bergelumang lebih 15 tahun dalam arena sukan negara dengan mempunyai kecintaan sangat mendalam dalam sukan berbasikal dan permotoran.